Bantahan Kubur Masih ‘Sepi’

PUNCAK ALAM – Meskipun bantahan dan memorandum berkaitan projek pembinaan tanah perkuburan bersepadu sudah dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor, namun sehingga kini isu masih kabur.

 

Lebih dikesalkan, kenyataan kerajaan negeri yang sebelum ini yang dikatakan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan siasatan dan pertemuan dengan penduduk bagaimanapun masih menjadi tanda tanya.

 

Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin Meru, S Hassan Kuthoos Syed Ahamed Kabeer berkata, pihaknya kecewa kerana kerajaan negeri masih berdiam diri dan meletakkan masalah ini di bahu PBT.

 
“Inikah kerajaan berkebajikan? Langsung tak kasihan dengan orang kampung dengan projek jirat di tengah-tengah perkampungan Melayu dan seolah-olah lepas tangan.

 

“Bukankah kuasa di tangan kerajaan negeri? Jika masih tiada pembelaan, orang kampung akan bawa isu ini ke pengetahuan pihak istana untuk campur tangan,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Wakil penduduk Puncak Alam, Mohd Razib Mohd Talib berkata, pihaknya kesal kerana tiada wakil daripada mana-mana pihak berwajib tampil berbincang dengan penduduk sejak hampir sebulan memorandum diserahkan.

 

“Sebelum ini, kami serah memorandum kepada kerajaan negeri dan hanya mendapat makluman mengenai arahan menteri besar yang minta PBT siasat perkara ini.

 

“Dalam petikan media itu juga, kerajaan negeri dikatakan akan meneliti semula cadangan projek tanah kubur Cina selepas mendapat bantahan penduduk dan turut mengarahkan PBT turun padang.

 

“Tapi sampai hari ini, tiada pun wakil datang…isunya sekarang ini adakah bantahan ini dapat perhatian kerajaan negeri? Adakah hanya pandai main politik?

 

“Kami bukannya tolak pembangunan, cuma pindahkanlah jirat ini di tempat lain…orang Cina pun cakap suwei kalau rumah dekat dengan jirat, nikan pula kita orang Melayu.

 

“Kalau tak ada sebarang tindakan, kami akan teruskan perjuangan kami untuk memohon campur tangan pihak istana dalam hal ini kerana kerajaan negeri langsung tidak memikirkan nasib orang Melayu,” katanya.

 

Mohd Razib berkata, penduduk tidak mahu kawasan ini dihantui isu banjir dengan projek seumpama itu di puncak bukit sedangkan Puncak Alam dan kampung ini di kawasan lembah.

 

“Kami tak sanggup berdepan musibah banjir yang sebelum ini menyebabkan jalan terputus…lagi teruk jika kawasan yang membangun dengan hospital dan UiTM ini dikenali imej buruk.

 

“Tak mustahil harga rumah akan jatuh…lagi teruk penduduk yang terpaksa hadap semua ini sedangkan projek perumahan dan lot komersial rancak dibangunkan di Puncak Alam dan Saujana Utama,” katanya.

 

Wakil penduduk Kampung Bukit Kerayong, Mohamad Fazli Turmin berkata, pihaknya kesal apabila memorandum yang diserahkan penduduk dipandang sepi kerajaan negeri.

 

“Mandat dan kuasa di tangan kerajaan negeri dan sepatutnya jika benar negeri berkebajikan, sepatutnya bantu penduduk dan bukannya lepas tangan,” katanya dalam pertemuan bersama media, semalam.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.