Annuar Musa Umum Bertanding Presiden FAM, Demi Pertahan Harga Diri

KOTA BHARU – Tan Sri Annuar Musa kekal dengan keputusan untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres FAM, 25 Mac ini.

 

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, keputusann berkenaan dibuat bukan berkaitan merebut kerusi nombor 1 itu semata-mata, sebaliknya ingin mempertahankan integriti dan rekod kepimpinannya sebagai timbalan presiden FAM sebelum ini.

 

“Dalam bola sepak, integriti saya tercabar dan dalam pertandingan ini, saya mempunyai pendirian saya sendiri.

 

“Saya orang politik, harga diri saya ialah integriti dan khidmat saya, apabila harga diri saya itu dicabar, maka saya perlu mempertahankannya,” katanya kepada pemberita malam tadi.

 

Annuar adalah orang pertama yang mengesahkan pencalonan untuk merebut jawatan presiden FAM bagi penggal 2017 hingga 2021, setelah menerima borang pengesahan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Isnin lalu.

 

Selain Annuar, 3 nama lain yang dicalonkan ialah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Aseh Che Mat.

 

Senarai akhir calon akan dibentang kepada Exco FAM pada 20 Februari ini bagi menentukan calon layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepemimpinan bagi penggal 2017-2021.

 

Annuar ketika ini digantung daripada jawatan sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) bagi membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara, termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

 

Dalam pada itu, beliau berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut menyiasatnya, segera menyiapkan siasatan.

 

“Saya berharap penyiasatan itu segera diselesaikan dan mendapat apa sahaja perkhabaran (keputusan) daripada pihak SPRM. Semua pihak perlu bertenang dan perlu memberi kerjasama sebaik mungkin atas apa-apa yang diminta oleh SPRM,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.