Pemimpin Pas Perlu Tahu Bezakan Perayaan Budaya, Ritual Agama

SHAH ALAM – Pas perlukan satu garis panduan terperinci mengenai budaya dan agama masyarakat bukan Islam.

 

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, garis panduan yang ada sekarang hanya polisi secara am.

 

“Perayaan kebudayaan boleh dan perayaan keagamaan tidak boleh. Pas jelas dalam hal ini. Untuk perayaan keagamaan, Dewan Himpunan Penyokong Pas akan mewakili Pas. Tetapi ia tidak semudah itu.

 

“Contohnya bagi Tahun Baharu Cina yang merupakan perayaan kebudayaan tetapi terdapat masyarakat Cina yang mengadakan upacara sembahyang khas. Upacara sembahyang sudah tentu Pas tidak boleh terlibat,” katanya.

 

Iskandar berkata, iktibar daripada isu ini adalah pimpinan dan ahli Pas perlu memahami budaya dan agama masyarakat bukan Islam.

 

“Kenal yang mana satu budaya dan yang mana satu agama. Kita hidup di dalam satu masyarakat dan sudah tentu kita perlu mengetahui tentang agama dan budaya jiran-jiran dan rakan-rakan kita,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

 

Beliau mengulas mengenai tindakan Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berpakaian dipercayai menyerupai dewa Cina, Dewa Cao Guo Jiu pada sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Tionghua di Wangsa Permai, Kepong.

 

Iskandar berkata, beliau akan mengarahkan Dewan Ulama Pas Negeri Selangor dan Lajnah (Biro) Perpaduan Nasional Pas Selangor menghasilkan kajian dan garis panduan tersebut.

 

“Garis panduan ini penting bagi kami di Selangor kerana kami berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam sepanjang masa.

 

“Mereka adalah jiran kami, rakan sekerja kami malah saudara-mara kami bagi yang berkahwin campur. Ia bukan semata-mata kerana keperluan politik,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.