Dr Mahathir Gesa Rakyat Malaysia Beli Kereta Proton

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan terbaru di blognya semalam menggesa rakyat Malaysia menyokong dan membeli kereta keluaran Proton atas alasan untuk kepentingan ekonomi negara.

 

Ini kerana menurutnya, jika rakyat Malaysia membeli kereta buatan negara asing kesannya akan menguntungkan ekonomi negara lain.

 

“Adalah penting untuk diingatkan bahawa apabila anda membeli kereta buatan luar, wang akan mengalir keluar dari negara ini untuk kepentingan ekonomi mereka dan memberi manfaat kepada pekerja mereka.

 

” (Tetapi) apabila anda membeli sebuah kereta tempatan, wang mengalir di dalam negara ini, pekerja memperolehi wang, pengedar dan ejen serta pekerja mereka menikmati perniagaan yang mereka lakukan dan ekonomi tempatan berkembang. Ribuan keluarga menikmati kehidupan yang baik,” tulisnya dalam tulisan tersebut.

 

Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Proton berkata, jika rakyat negara ini tidak menyokong industri automatif tempatan terutamanya Proton, Malaysia akan menjadi negara dunia ketiga yang gagal.

 

“Dengan mengandaikan bahawa semua industri tempatan ditutup, (hanya) beberapa (orang sahaja) akan mempunyai wang untuk membeli barangan import. (Akibatnya) kita akan kembali menjadi sebuah negara dunia ketiga yang gagal,” ujarnya.

 

Gesaan itu timbul dipercayai susulan kemerosotan jualan kereta keluaran Proton sejak beberapa tahun kebelakangan ini berbanding sebuah lagi syarikat pengeluar kereta tempatan, Perodua yang terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dari segi jualan.

 

Mengulas mengenai persepsi negatif terhadap kereta keluaran Proton, Mahathir menggesa rakyat Malaysia memberi peluang kepada syarikat automatif itu.

 

“Kereta yang kami hasilkan sekarang tidak sama dengan kereta yang dihasilkan sebelumnya. Ia lebih baik dan mempunyai lebih banyak ciri berbanding kereta pengeluar lain dalam kategori yang sama,” hujahnya lagi. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.