Video: Raja Bomoh Kecewa Anwar Ibrahim Dipenjara

Kuala Lumpur – Raja Bomoh Malaysia, Datuk Mahaguru Ibrahim Md Zin melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau yang ditemui SuaraTV sebentar tadi turut melahirkan rasa terkilannya kerana merasakan Anwar adalah merupakan seorang individu yang baik.

 

 

“Saya merasa sungguh kecewa dengan keputusan Mahkamah kerana Anwar Ibrahim adalah orang yang baik dan amanah.

 

“Sungguhpun sebelum ini saya ada sedikit salah faham namun ia merupakan isu politik” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

 

Ibrahim turut meminta ahli keluarga Anwar agar bersabar dengan ujian yang diberikan ini.

 

“Saya harap ahli keluarga beliau bersabar, mudah-mudahan Allah swt akan berikan fadilat kepadanya.

 

“Saya tidak yakin dengan keputusan yang agak mendadak itu (Anwar meliwat pembantunya) kerana beliau merupakan seorang yang alim dan warak” ujarnya lagi.

 

Panel lima hakim diketuai oleh Tun Arifin Zakaria mengekalkan hukuman lima tahun penjara itu yang disabitkan oleh Mahkamah Rayuan, Mac lalu.

 

Dalam membaca penghakiman selama dua jam itu, Arifin  berkata panel hakim mendapati keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan Anwar adalah kukuh, manakala keterangan  Saiful adalah berwibawa.

 

Beliau berkata mahkamah tertinggi itu juga mendapati kredibiliti sampel DNA yang mendapati kehadiran sperma Anwar dalam dubur Saiful adalah kukuh untuk mensabitkan tertuduh di atas kesalahan itu.

 

Ketua Hakim turut mengumumkan bahawa permohonan pendakwaraya untuk menambah hukuman penjara Anwar kepada sekurang-kurangnya enam tahun ditolak.

 

Sebaliknya Arifin berkata mahkamah mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.

 

Awal minggu ini Anwar memberitahu pemberita bahawa beliau hanya akan menganggap badan kehakiman bebas jika beliau dibebaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.