Terima Surat Ugutan, Kedai Dibakar

KAMPUNG RAJA – Seorang pemilik spa kecantikan hidup dalam ketakutan selepas premis miliknya nyaris musnah dipercayai akibat perbuatan khianat.

 

Kejadian berlaku di sebuah deretan di Alor Lintah, di sini, pagi kelmarin.

 

Zazleen Zakaria, 34, dimaklumkan pekerjanya berusia 23 tahun tentang kejadian itu kira-kira jam 2 pagi selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya.

 

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan, Khaled Che Lah berkata, pekerja mangsa yang tiba di premis itu dapati terdapat kesan kebakaran kecil pada bahagian hadapan kedai selain pasu bunga pecah.

 

Menurutnya, wanita itu turut menemui sehelai kertas bertulis tangan berbaur ugutan di kedainya sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja kerana bimbang keselamatannya.

 

“Kebakaran berjaya dipadam oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian dan siasatan menemui sebotol minyak petrol di dalam pasu bunga di hadapan kedai.

 

“Suspek juga dipercayai cuba membuat bom buatan sendiri dengan meletakkan mercun bola bersama plastik berisi minyak petrol di bawah kenderaan milik mangsa berhampiran kedai itu tetapi tidak meletup,” katanya.

 

Khaled berkata, mangsa memaklumkan pernah menerima satu surat berbaur ugutan sebelum kejadian kelmarin, namun dia tidak mengesyaki sesiapa yang terlibat.

 

Bagaimanapun mangsa mengesyaki surat pertama dan kedua dilakukan orang sama.

 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan,” katanya.

 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

 

Sementara itu, Zazleen berkata, dia amat terkejut dengan kejadian tersebut memandangkan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

 

Katanya, ketika kejadian dia berada di Seremban, Negeri Sembilan kerana mempunyai urusan di sana.

 

“Saya pernah terima surat ugutan pertama kira-kira dua minggu lalu. Dalam surat itu suspek tulis dengan perkataan mencerca saya, namun surat ugutan kedua yang ditinggalkan suspek ketika kejadian kelmarin lebih teruk apabila turut ugut untuk menetak saya.

 

“Saya memang bimbang dan takut dengan ugutan itu kerana suspek sudah berani sehingga sampai tahap cuba bakar kedai,” katanya yang baru sebulan menjalankan perniagaan di situ.

 

Zazleen turut mendakwa, bukan dia sahaja menerima surat ugutan itu malah sebelum ini ada peniaga lain di situ yang turut menerima surat ugutan selain kes sebuah kereta milik jirannya yang diletakkan di hadapan kedai hilang empat biji tayar baru-baru ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.