Saya Percaya Anwar & Saiful Diberi Keadilan Secukupnya – Tan Sri Khalid

Bekas Menteri Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim percaya kedua-dua pihak iaitu Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari telah diberi keadilan secukupnya dalam menghadapi kes liwat II.

 

“Saya percaya kedua-dua pihak telah diberi ruang secukupnya untuk memberi hujah dan keterangan kepada mahkamah.

 

“Saya harap keputusan hari ini adalah berdasarkan kepada semua fakta, bukti keterangan dan hujah.

 

Jika tidak, keputusan ini akan menjadi satu penghinaan kepada sistem kehakiman negara. Saya berdoa kepada Allah SWT semoga keluarga saudara Dato’ Seri Anwar Ibrahim diberi kekuatan dalam menempuh dugaan yang mencabar ini,” katanya dalam facebook sejurus selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman bersalah terhadap Anwar hari ini.

 

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya itu.

 

Penghakiman itu diberikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim.

 

Hakim-hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

 

Dengan keputusan ini, Anwar, 67, boleh hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000. – Aidc News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.