Pemuda Terkejut Dituduh Berhutang

AYER KEROH – Seorang kakitangan awam terkejut apabila menerima notis tuntutan hutang daripada sebuah syarikat pengedar barangan elektrik berhubung pembelian sebuah komputer riba secara ansuran yang didakwa dilakukan kira-kira 13 tahun lalu.

 

Menurut Mohd Hafiz Ghazali, 30, dia bukan saja tidak pernah membuat sebarang pembelian itu, malah ketika tarikh pembelian dilakukan, dia masih bersekolah.

 

Mohd Hafiz berkata, notis tuntutan bertarikh 12 Februari tahun lalu itu dihantar ke rumahnya di Kampung Balai Panjang, di sini menerusi sebuah firma guaman yang berpejabat di Pulau Pinang.

 

Menurutnya, notis berkenaan menyatakan dia memiliki tunggakan hutang sebanyak RM1,905 berikutan pembelian barangan daripada syarikat terbabit di Melaka pada 2002 dan diarah menjelaskannya dalam tempoh tujuh hari atau dikenakan tindakan mahkamah.

 

Mohd Hafiz berkata, pada mulanya dia mengabaikan notis tersebut. Tetapi setahun selepas notis diterima, wakil syarikat barangan elektrik itu menghubunginya di pejabat tempat dia bekerja.

 

“Saya malu dengan rakan sepejabat seolah-olah saya berhutang. Yang peliknya, bagaimana mereka memperoleh maklumat diri dan tempat saya bekerja sedangkan menurut tarikh pembelian, ketika itu saya belum bekerja. Mustahil saya mampu membeli apa-apa barangan secara ansuran disebabkan saya tidak mempunyai pendapatan.

 

“Cuma yang saya ingat, saya pernah hilang kad pengenalan sewaktu sekolah dahulu. Mungkin ada orang guna kad pengenalan itu untuk membuat pembelian ansuran,” katanya.

 

Menurutnya, untuk mendapatkan kepastian, dia menghubungi syarikat terbabit.

 

“Malangnya, mereka bukan saja enggan mendengar penjelasan saya, tetapi mendesak saya membayar tunggakan itu,” katanya di sini, semalam.

 

“Tidak puas hati dengan perkara ini, saya membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah,” katanya.

 

Sementara itu, Mohd Hafiz turut meminta bantuan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka, di sini, semalam.

 

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya telah mencuba menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan bukti pembelian, bagaimanapun mereka enggan bekerjasama.

 

“Kami akan bantu menyediakan peguam untuk mengambil tindakan ke atas syarikat berkenaan. Mereka tidak mengemukakan bukti kukuh, malah telah memalukan lelaki ini dengan menghubunginya di pejabat,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.