Mahkamah Persekutuan Putuskan Anwar Bersalah Liwat Saiful

Putrajaya – Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini memutuskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lepas.

 

Mahkamah memutuskan wujud bukti keterangan yang mencukupi bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Ini antara intipati penghakiman yang sedang dibaca oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

 

Mahkamah juga mendapati DNA Anwar yang diambil dari lokap adalah adil dan sah.

 

Mahkamah mendapati Anwar gagal membuktikan dakwaannya bahawa wujud konspirasi politik dalam pertuduhan terhadapnya.

Sidang ditangguh sementara menantikan hukuman.

 

Anwar didakwa meliwat Saiful pada 26 Jun 2008 di unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang.

 

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu.

 

Pada 7 Nov tahun lepas, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan daripada 15 peguam yang mewakili Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

 

Pasukan itu termasuk tiga anak peguam terkemuka mendiang Karpal Singh yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar dalam kes itu sehingga kematiannya pada 17 April 2014. Peguam kanan itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Perak.

 

Mereka ialah Ramkarpal, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo, manakala peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan.

 

Empat lagi hakim dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

 

Pendengaran rayuan Anwar yang awalnya ditetapkan selama dua hari dari 28 Okt 2014 telah berlarutan selama lapan hari ekoran pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujahan panjang lebar dan banyak kes undang-undang dijadikan rujukan dalam rayuan itu.
Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan Anwar dengan ini telah lucut kelayakan sebagai Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh yang menetapkan bahawa seorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

 

Mahkamah Rayuan sebelum ini mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

 

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

 

Sebanyak 27 saksi pihak pendakwaan termasuk saksi utama Mohd Saiful, dan lapan saksi pihak pendakwaan termasuk Anwar memberikan keterangan dalam perbicaraan yang berlarutan hampir tiga tahun di Mahkamah Tinggi yang turut mendapat perhatian seluruh dunia.

 

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu atas alasan mahkamah tidak pasti 100 peratus dengan sampel yang diambil daripada mangsa bagi ujian DNA.

 

Mahkamah memutuskan bahawa sampel itu mungkin telah diganggu atau tercemar sebelum ia sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.

 

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mensabitkan Anwar terhadap pertuduhan meliwat itu, memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf dalam dapatannya berhubung sampel itu yang dibuat berdasarkan keterangan dua pakar yang merupakan saksi pihak pembelaan.

 

Ini merupakan kes liwat kedua dihadapi Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, di sini pada 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

 

Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah pada 4 April 1999.

 

Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara hampir enam tahun bagi kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad yang kemudian dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, membatalkan sabitannya dan mengetepikan hukuman penjaranya bagi pertuduhan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.

 

Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat keputusan yang memihak kepada Anwar manakala Hakim Datin Paduka Rahmah Hussein tidak memihak kepadanya.

 

Bagaimanapun, Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti itu, berkata para hakim mendapati Anwar dan tertuduh bersama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja “terlibat dalam aktiviti homoseksual” dan para hakim cenderung untuk mempercayai bahawa kejadian liwat yang didakwa itu sebenarnya berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.