Lembaran Baharu Hubungan Pas, BN

TANAH MERAH – Bencana bah kuning pada penghujung tahun lalu ibarat membuka lembaran baharu hubungan Pas dan BN yang merupakan dua parti terbesar di negara ini, apabila dilihat sudah boleh duduk semeja.

 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki kagum melihat perubahan ketara yang mana pemimpin kedua-dua parti  mampu berbincang dengan baik cara membantu mangsa banjir tanpa memikirkan perbezaan fahaman politik.

 

Menurutnya, lebih mengagumkan apabila rakyat yang selama ini begitu taksub kepada parti dan kerap bermasam muka kerana ideologi politik berbeza sudah mampu berada dalam satu majlis.

 

“Selalunya pemimpin dua parti berbeza boleh duduk berbincang, tetapi rakyat berbeza ideologi politik sukar untuk disatukan. Mungkin ini hikmah banjir besar yang menjadi titik penyatuan umat Islam di Malaysia,” katanya selepas melawat Masjid Manal 1, di sini, kelmarin.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz, Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustafa, Naib Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Baharuddin Yusuff, Ketua Wanita Umno Bahagian Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid dan Imam Masjid Manal 1, Husin Yunus.

 

Dr Ashraf yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) memaklumkan, tumpuan kini adalah untuk membaik pulih masjid yang rosak dan perlu diberi perhatian.

 

“Masjid adalah institusi yang boleh menyatukan umat Islam. Kita telah turun padang ke masjid di Machang dan Kubang Kerian dan dapat melihat masyarakat yang dulunya tidak mampu bersatu dan sering bermasam muka, kini boleh bersama-sama dalam satu majlis.

 

“Lebih membanggakan, mereka boleh melaksanakan aktiviti gotong-royong bersama-sama. Keadaan ini sama seperti permusuhan pihak Gan dan Tentera Indonesia di Acheh yang akhirnya bersatu selepas bencana tsunami,” katanya.

 

Sementara itu, Ikmal Hisham memberitahu, kerajaan persekutuan telah menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Masjid Manal 1 yang mana RM100,000 telah disampaikan dalam bentuk cek.

 

“Bantuan itu adalah untuk baik pulih masjid dan keperluan lain. Masjid ini juga turut menerima bantuan karpet daripada Tabung Ehsan Bantuan Banjir Kelantan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.