Kes Liwat II: Sambutan Hambar Namun Meriah

PUTRAJAYA – Kurang dapat sambutan, begitulah suasana yang boleh digambarkan pada hari penghakiman kes Liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini apabila jumlah penyokongnya yang hadir agak susut berbanding seperti kebiasaannya.

 

Pujian juga boleh diberikan kepada mereka apabila penyokong Anwar, tanpa menimbulkan provokasi melampau walaupun pada awalnya mereka cuba merempuh barisan petugas media di pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya.

 

Sementara menunggu keputusan rayuan terakhir Liwat II di Mahkamah Persekutuan, para penyokong tidak melepaskan peluang untuk berzikir munajat seterusnya melakukan solat hajat beramai-ramai untuk mendoakan Ketua Pembangkang itu bebas daripada sebarang pertuduhan.

 

Tidak ketinggalan gelagat penyokong Anwar yang mengenakan pakaian berjaya menarik perhatian dan lensa jurukamera media dengan sepanduk tertera mesej ‘Rakyat Hakim Negara’ dan kata-kata semangat kepada pemimpin PKR itu.

 

Turut kelihatan penyokong Anwar yang mengambil kesempatan ini berjalan-jalan di bandaraya Putrajaya malah ada yang sempat ‘berselfie’ berlatarbelakangkan Istana Kehakiman Putrajaya.

 

Bagaimanapun keadaan agak muram dan tidak mendapat sambutan di sebelah penyokong Saiful Bukhari Azlan apabila tidak kelihatan dan kedengaran penyokongnya.

 

Dengan kawalan ketat pihak polis termasuk pasukan unit berkuda, suasana di pekarangan Istana Kehakiman lebih terkawal. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.