Jentera Serangan United Hambar

London: Kehambaran penyerang Manchester United menyebabkan pengurus Louis van Gaal mengamalkan taktik bola hantaran tinggi, jelas pengendali dari Belanda itu selepas pasukannya terikat 1-1 dengan West Ham.

 

United bermula dengan Radamel Falcao, Robin van Persie, Wayne Rooney, Angel di Maria dan Adnan Januzaj di Upton Park kelmarin, namun memerlukan sepakan voli masa kecederaan daripada Daley Blind bagi meraih satu mata selepas Cheikhou Kouyate meletakkan West Ham di depan pada minit ke-49.

 

Pengurus West Ham Sam Allardyce berkata, strategi United adalah “menghantar bola ke depan dan lihat apa yang berlaku”, dan Van Gaal mengakui kemasukan pemain tengah Belgium, Marouane Fellaini pada minit ke-72 mengubah suasana.

 

“Saya sudah lakukan banyak kali bersama Fellaini dan ini bukannya perkara baru,” kata Van Gaal yang kehilangan Luke Shaw pada lewat perlawanan kerana dibuang padang selepas pertahanan kiri United itu dilayang kad kuning kedua kerana terjahan keras terhadap Stewart Downing.

 

“West Ham patut tahu. Tapi dengannya kami lebih bertenaga. Dengan Adnan dan Di Maria, kami mempunyai pemain yang lebih kreatif.”

 

Falcao mensia-siakan peluang baik apabila merembat liar ketika berdepan dengan Adrian, namun di sebalik menafikan beberapa percubaan Van Persie, penjaga gol West Ham itu tidak banyak menghadapi masalah hinggalah Blind menyumbat masuk pada minit ke-92.

 

Gol pemain serba boleh Belanda itu jaringan penyamaan saat akhir keduanya musim ini, selepas melakukannya di West Brom pada Oktober lalu.

 

Keputusan seri itu menyebabkan United terlepas peluang merapatkan kedudukan kepada tiga mata di belakang pasukan tangga kedua, Manchester City.

 

Ditanya jika pasukannya mensia-siakan peluang menekan City, yang seri 1-1 dengan Hull City Sabtu lalu, Van Gaal membalas: “Ya. Saya setuju mengenainya sebelum perlawanan lagi.

 

“Anda tahu semuanya. Mereka hilang mata, maka anda boleh merapatkan jurang dengan pesaing anda. Tapi kini kami gagal melakukannya, ia sesuatu yang disia-siakan.” – AFP/ HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.