Harga Sayur-Sayuran Tempatan Turun

KOTA BHARU – Saranan supaya menurunkan harga barangan keperluan harian pada asasnya disambut baik peniaga di negeri ini, namun pada sebahagian produk sahaja terutama melibatkan hasil keluaran tempatan.

 

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Siti Khadijah semalam mendapati, terdapat penurunan harga pada sayur-sayuran tempatan namun difahamkan bukan 100 peratus disebabkan penurunan harga petrol, sebaliknya lebihan penawaran berbanding permintaan.

 

Seorang peniaga,  Eh Jat berkata, sejak beberapa hari lalu terdapat penurunan harga bagi sayur-sayuran keluaran tempatan disebabkan begitu banyak hasil pertanian dikeluarkan petani dari kampung sekitar bandar ini.

 

Bagaimanapun katanya, harga sayur-sayuran khususnya yang diperoleh dari luar termasuk Thailand masih tinggi disebabkan tukaran mata wang negara agak rendah.

 

“Ada yang sudah turun harganya seperti lada solok dan kacang panjang kerana sayuran ini diusahakan penduduk kampung, bagaimanapun tomato, limau kasturi dan limau nipis yang saya dapat dari luar masih pada harga sama,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

 

Seorang lagi peniaga, Fauzi Hamzah, 43, berkata, bukan harga minyak semata-mata yang mempengaruhi harga sayur-sayuran di pasaran, sebaliknya ia bergantung juga kepada keadaan ekonomi semasa.

 

“Bekalan sayur-sayuran ini datang dari Thailand, kalau dulu ia lebih murah kerana nilai mata wang Malaysia lebih tinggi, namun akibat kejatuhan mata wang kita, harga meningkat, walaupun kita tidak mengejar untung tinggi namun perbezaan harga tetap berlaku,” katanya.

 

Menurutnya, dia tidak begitu bergantung kepada produk tempatan disebabkan harga yang lebih tinggi berbanding sayur-sayuran dari negara jiran, kerana dalam masa sama dia tetap perlu memikirkan situasi harga semasa. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.