Berlagak Diva?

Tidak lama selepas didakwa berpegangan tangan dengan kekasihnya ketika keluar bersama dan berdua-duaan selama 45 minit di dalam kereta, terbaharu, Ainan sekali lagi berdepan cerita yang tidak enak didengar.

 

Kali ini, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Suka Dia itu dikatakan berlagak diva. Dia didakwa semakin sukar untuk memberikan kerjasama dalam segala urusan berkaitan kerjaya seninya. Ada sahaja alasan diberikan Ainan sehingga memualkan sesetengah pihak.

 

Penyanyi yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Bioproses di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu bagaimana pun tenang berdepan cemuhan.

 

Kata Ainan, dia tidak menyangka terkena tempias dunia glamor, padahal nyanyian bukanlah karier sepenuh masa yang harus menjadi fokus hidupnya.

 

Menafikan dirinya berlagak diva, Ainan mengakui tidak terkesan dengan segala kontroversi yang timbul.

 

“Siapalah saya untuk berlagak diva. Saya hanya penyanyi separuh masa dan bukannya penyanyi hebat. Rasanya, perkara itu timbul disebabkan masalah saya yang sukar menjawab panggilan telefon. Diakui, saya jarang menjawab panggilan telefon dengan segera kerana kesibukan sebagai pelajar tahun akhir.

 

“Kebanyakan masa saya dihabiskan di makmal dan tidak boleh selalu menggunakan telefon ketika belajar. Selalunya, orang yang ingin hubungi saya akan memaklumkan terlebih dulu seperti menghantar mesej supaya saya boleh menjawab panggilan tanpa gangguan dan pada masa yang benar-benar lapang.

 

“Menjadi seorang pelajar yang menyanyi sekadar suka-suka sehingga menjadi perhatian orang dan dikaitkan dengan kontroversi negatif, sememangnya itu satu keadaan yang tidak dijangka. Mulanya saya agak terkejut tetapi sekarang saya sudah menerima keadaan itu dengan baik. Jika ditakdirkan saya menjadi penyanyi sepenuh masa, saya sudah bersedia dari segi mental untuk berdepan segala macam ragam manusia dalam industri seni,” katanya. – Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.