Kerajaan Salur RM500 Juta Tingkat Taraf Hidup Masyarakat India

MUAR, 10 Feb  — Hampir RM500 juta peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini termasuk di dalam bidang ekonomi dan pendidikan sejak lima tahun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Langkah itu adalah untuk memastikan kaum India berjaya dalam bidang ekonomi termasuk pemilikan ekuiti sebanyak tiga peratus melalui pelbagai dana yang disediakan kerajaan, katanya dalam sidang media selepas pertemuan dengan ketua-ketua Cawangan Umno Zon Parit Jawa di Taman Sri Bukit Mor di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana P Waythamoorthy yang mendakwa peletakan jawatannya adalah kerana kerajaan tidak membantunya dalam usaha meningkatkan taraf hidup kaum India yang miskin sejak dilantik ke jawatan itu lapan bulan lepas.

Sebagai contoh, Razali berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sahaja telah memperuntukkan sejumlah RM34.5 juta untuk membantu peniaga kaum India antara tahun 2008 hingga 2011.

“Pada 2012 Tekun menyalurkan peruntukan RM30 juta sementara 2013 sebanyak RM50 juta dan tahun ini juga RM50 juta. Bagi dana lain, dalam tempoh dari Ogos 2012 hingga Oktober 2013, sebanyak 8,107 permohonan daripada usahawan India diterima dan sebanyak RM119.4 juta sudah disalurkan,” katanya.

Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, Tekun turut membantu 65 syarikat milik kaum India untuk menyertai Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dengan peruntukan berjumlah RM4.4 juta.

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula sudah menyalurkan pinjaman berjumlah RM47.5 juta kepada 774 usahawan India manakala Tekun melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga memberi pinjaman RM153.9 juta kepada 12,319 usahawan India, katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata sejumlah 22 syarikat atau bengkel milik kaum India mendapat manfaat daripada peruntukan berjumlah RM1.3 juta daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui program Pemodenan Bengkel Automotif (Atom).

Beliau berkata bagi memastikan anak-anak India tidak ketinggalan, kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sama seperti yang diperoleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.