Keputusan Mahathir Memalukan, Dua Kali Perkara Sama Manifesto PH Dilanggar- PKR

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membuat keputusan memalukan apabila secara terang-terangan melanggar janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dengan membuat keputusan memangku jawatan menteri pendidikan.

Bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali berkata sehingga kini masih tidak ada kenyataan jelas dari Pejabat Perdana Menteri berhubung tempoh Mahathir akan memangku jawatan itu selepas penyandangnya, Maszlee Malik meletakkan jawatan.

“Dahulu dia sudah ambil jawatan menteri pendidikan, kemudian dia tarik diri sebab melanggar manifesto dan ditentang orang parti serta orang awam. Jadi, apa yang dibuatnya hari ini adalah dia melanggar sekali lagi apa yang sudah dilanggar sebelum ini.

“Ini tindakan memalukan kerana kita tidak tahu berapa lama dia hendak jadi pemangku, boleh jadi seminggu dan boleh jadi setahun. Apakah akhirnya orang akan katakan Mahathir pecat Maszlee supaya dia boleh ambil balik jawatan itu,” katanya kepada FMT.

Janji 12 dalam manifesto PH adalah menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri.

Dinyatakan, tempoh jawatan perdana menteri akan dihadkan kepada 2 penggal sahaja bahkan perdana menteri juga tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan menteri kewangan.

Hari ini, Pejabat Perdana Menteri berkata, Kabinet setuju melantik Mahathir sebagai pemangku menteri pendidikan sehingga menteri pendidikan baru dilantik.

Keputusan dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 8 Jan. Pelantikan Mahathir berkuat kuasa 3 Jan bagi menggantikan Maszlee yang meletak jawatan pada tarikh sama.

Syed Husin berkata, menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, beliau akhirnya memahami kenyataan Maszlee sewaktu meletakkan jawatan tempoh hari, yang menyatakan beliau memulangkan semula jawatannya kepada perdana menteri.

“Sebab itu saya nyatakan, Mahathir adalah Mahathir dan dia selalu buat apa yang dia suka,” katanya.

Mahathir pada mulanya menamakan dirinya untuk portfolio pendidikan selepas kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14, 2 tahun lalu.

Beliau bagaimanapun terpaksa melepaskan jawatan itu keesokan harinya berikutan kritikan sebilangan pemimpin PH yang merujuk kepada janji pakatan politik tersebut bahawa perdana menteri tidak dibolehkan memegang jawatan dalam kementerian lain.

Beliau kemudiannya menamakan Maszlee untuk jawatan tersebut.

Ini merupakan kali ke-2 Mahathir memimpin portfolio pendidikan. Beliau memegang jawatan itu selama 4 tahun dari 1974 hingga 1978 di bawah pentadbiran bekas perdana menteri ke-3, Abdul Razak Hussein.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.