Tiada Habuan, BN Yakin Prestasi Terdahulu

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang tidak bercadang memberikan sebarang ‘habuan khas’ kepada pengundi sempena pilihan raya kecil akan datang, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelas beliau ini  kerana kerajaan negeri memang sentiasa memberikan khidmat dan bantuan kepada penduduk Pahang dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri selama ini berkhidmat untuk rakyat, kami tak tunggu pilihan PRK untuk buat sesuatu (bagi memancing undi),” katanya kepada media hari ini.

Wan Rosdy yang juga pengarah PRK Cameron Highlands untuk BN menambah kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada perkhidmatan yang baik kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Memberikan beberapa contoh, termasuk 51 permit kepada pekebun kecil, Wan Rosdy berkata tiada pengumuman khas akan dilakukan kerajaan negeri sempena PRK kali ini.

“Memang sejak dulu kami konsisten memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

“Maksudnya, pada setiap masa termasuk selepas PRK nanti kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kerana memang itu hasrat kami. Bukan saya di kawasan parlimen Cameron Highlands, malah kawasan lain,” katanya.

Untuk rekod, Pahang adalah salah satu negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN)  selepas PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

PRK kali ini diadakan selepas mahkamah mendapati berlaku salah laku dalam pilihan raya lalu, menyebabkan penyandangnya C Sivarraajh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.