Tak Perlu Undang-undang Baharu Lindungi Institusi Raja, Kata Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk kerajaan menggubal undang-undang baharu yang bertujuan untuk melindungi kesucian institusi diraja negara, demikian pandangan bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menurut beliau, institusi diraja negara telah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Hasutan 1948, di mana kerajaan hanya perlu menguatkuasakan undang-undang berkenaan dengan tegas.

“Kita dah ada Akta Hasutan dan di situ dinyatakan adalah menjadi kesalahan jika mencerca raja, hakim dan sebagainya. Di bawah Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan peruntukan itu dah ada. Kenapa sampai hari ini tidak diambil tindakan dan nak tunggu undang-undang baharu.

“Yang kedua ialah dalam Perlembagaan Malaysia khasnya Perkara 181, Perkara 38, Perkara 32 dan Perkara 42 semuanya di situ telah (dinyatakan mengenai) memperkasakan insitusi diraja. Persoalan saya ialah kerana kita sangat lemah dari segi penguatkuasaan… ini kunci dia.

“Kita tak cekap menggunakan penguatkuasaan sebab itu kita diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya dipetik Bernama.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong yang dipetik sebagai berkata undang-undang baharu akan digubal untuk melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina dan diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.

Vui Keong berkata sememangnya kemuliaan institusi diraja perlu sentiasa dilindungi kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Untuk tujuan itu jelas Vui Keong, pihaknya sudah mengadakan sesi perbincangan beberapa kali dengan Jabatan Peguam Negara bermula Oktober lalu berhubung penggubalan akta baharu itu selain penambahbaikan terhadap undang-undang lain.

Tambahnya, undang-undang berkenaan dijangka digubal tahun ini.

Dalam pada itu Dr Rais yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menambah, kerajaan perlu membuktikan kecekapan mereka menjalankan tanggungjawab dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada terlebih dahulu.

“Saya berpendapat undang-undang baharu tidak perlu… buktikan dulu kita cekap jalankan tugas dan tanggungjawab di bawah undang-undang yang sedia ada peruntukannya berhubung dengan menyerang dan memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong sudah ada dalam Kanun Keseksaan, kenapa tak dilihat itu dahulu.

“Kenapa tiba-tiba nak buat undang-undang baharu sedangkan sekarang kita sudah ada lebih kurang 987 undang-undang utama,” katanya. -SuaraTv 

One thought on “Tak Perlu Undang-undang Baharu Lindungi Institusi Raja, Kata Rais Yatim

  • January 10, 2019 at 9:58 pm
    Permalink

    Betul kita kuatkuasakan akta hasutan dan hakim akan takrifkan agar sesuai dgn tuduhan!!!
    Juga jika bolih tambah kerja khidmat masyarakat!! Bebas memang bebas tatadsusila adab pd org lain pun dah salah? Ini pula terhadap istana?? Awak semua tahu tapi gatal2 tangan komen kenapa? Dah tahu lubang kenapa masuk? Da tahu salah kenapa kau buat juga?? Pelik tak cukup akal??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.