Rombakan KSU Dibuat Mungkin Tak Sesuai Dengan Menteri, Kata Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelbagai faktor diambil kira sebelum rombakan dan pertukaran Ketua Setiausaha (KSU) dilakukan bagi memastikan dasar yang dirancang dapat dilaksana dengan baik.

Perdana Menteri berkata antara faktor yang diambil kira termasuk kesesuaian pegawai terbabit untuk bekerjasama dengan menteri berkaitan.

“Kita menentukan seseorang KSU (kementerian) itu berhak dipindahkan dari satu jabatan ke jabatan lain kerana ia ada kaitan dengan prestasinya sama ada boleh dinaikkan pangkat atau sebaliknya.

“Jadi, kadang-kadang ia mungkin tidak sesuai dengan menteri jika terdapat keadaan yang mana menteri dan pegawainya tidak boleh bekerjasama langsung.

“Maka, kita perlu ambil kira perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata pelantikan seseorang KSU tidak memerlukan pandangan menteri berkaitan.

“Kebiasaannya kita tidak tanya menteri siapa yang dia suka walaupun kita perlu tahu apa kualiti orang yang dikehendaki oleh seorang menteri.

“Kita perlu meneliti terlebih dulu sebelum membuat sebarang pelantikan,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini melakukan rombakan besar-besaran dalam pentadbiran awam membabitkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat sembilan KSU kementerian dan tiga Ketua Pengarah.

Bagaimanapun, berlaku perubahan dalam rombakan terbabit apabila ada KSU, yang sepatutnya ditukarkan ke kementerian lain, sebaliknya kekal di kementerian sama apabila difahamkan ada menteri berkenaan memfailkan rayuan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.