PRK Cameron Highland: BN Yakin 85% Menang

KUALA LUMPUR – BN yakin 85 peratus menang pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari ini, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU14 lalu, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Pengerusi BN itu berkata, keyakinan itu berasas selepas mengambil kira kelebihan Ramli Mohd Nor yang merupakan kaum Orang Asli serta anak tempatan, di situ.

“Kelebihan Ramli yang mempunyai pertalian keluarga dengan kaum Orang Asli turut membolehkan kita (BN) mendapat kepercayaan daripada mereka (Orang Asli) dan penduduk tempatan yang lain.

“Selain itu, calon kita ini juga turut mempunyai kelayakan dan rekod yang baik dalam usaha BN mencapai misi kemenangan pada PRK Cameron Highlands ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad lagi, pemilihan bekas pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang memegang jawatan terakhir sebagai Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu turut dipersetujui semua parti komponen BN.

“Kita ada membuat senarai pendek beberapa calon dan selepas membuat rundingan bersama-sama parti komponen lain dalam BN, kita melihat Ramli adalah calon yang terbaik.

“Amat penting sekali untuk kita (BN) mempertahankan kemenangan bagi kerusi Cameron Highlands ini.

“Ia supaya kita dapat letak titik nokhtah selepas kegagalan dalam empat PRK sebelum ini,” katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Oktober lepas, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Januari ini sebagai tarikh penamaan calon. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.