Perak Pantau Semua GLC Elak Salah Guna Kuasa

IPOH: Kerajaan Perak akan sentiasa memantau semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perbadanan yang berada di bawah pengawasan kerajaan negeri bagi memastikan semua agensi terbabit menjalankan tanggungjawab sebagaimana diamanahkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ia termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang diberi tanggungjawab untuk memajukan ekonomi negeri dan membantu memudahkan rakyat dalam menggerakkan ekonomi negeri.

“(Tugas PKNP) bukannya bagi menjana keuntungan untuk PKNP tetapi untuk merancakkan ekonomi negeri supaya rakyat dapat nikmat, bukan untuk keuntungan PKNP sendiri, lebih-lebih lagi bukan untuk keuntungan penjawat awam itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Perakfm di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pendakwaan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif PKNP dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak Corporation Berhad, Datuk Aminuddin Md Desa, berhubung kes rasuah di Mahkamah Sesyen hari ini.

Aminuddin mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menerima rasuah dalam bentuk pembayaran pembinaan rumah banglo miliknya bernilai RM455,660 daripada Pengarah Uni-poh Construction Works Sdn Bhd, Chua Kim Weng, dua tahun lalu.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan berharap semua rakyat bertenang serta membiarkan agensi berkenaan menjalankan tugasnya.

Beliau berkata, apa yang berlaku ialah penahanan untuk menjalankan siasatan dan apabila ada bukti yang diyakini SPRM berlaku salah laku, maka suspek akan didakwa di mahkamah dan tertuduh berpeluang membela diri.

“Biarlah proses ini berjalan dan mahkamah kemudian akan menentukan sama ada tertuduh itu bersalah atau pun tidak…ini di luar kawalan kita, saya harap semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Ditanya kemungkinan akan ada lagi pegawai kanan kerajaan negeri atau GLC negeri yang akan didakwa, Ahmad Faizal berkata: “Wallahuallam…Saya percaya polis, SPRM akan menjalankan siasatan dan tidak heboh kepada kita, jika heboh bukan siasatan namanya.”

Tambah Ahmad Faizal, walaupun ada aduan dibuat terhadap beberapa pihak berkaitan kerajaan negeri sebelum ini, semua pihak harus membiarkan polis dan SPRM menjalankan siasatan tanpa gangguan sesiapa. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.