Kerajaan Bakal Gubal Akta Baharu Lindungi Institusi Diraja

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menggubal satu akta baharu bagi memelihara dan melindungi kemuliaan institusi diraja daripada dihina serta dipersenda, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Vui Keong berkata sememangnya kemuliaan institusi diraja perlu sentiasa dilindungi kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Untuk tujuan itu jelas Vui Keong, pihaknya sudah mengadakan sesi perbincangan beberapa kali dengan Jabatan Peguam Negara bermula Oktober lalu berhubung penggubalan akta baharu itu selain penambahbaikan terhadap undang-undang lain.

Tambahnya, undang-undang berkenaan dijangka digubal tahun ini.

“Kita mungkin akan merujuk kepada undang-undang yang diamalkan di negara Komanwel termasuk United Kingdom dalam penggubalan undang-undang baharu yang melindungi kemuliaan institusi diraja itu.

“Setakat ini kita masih terikat dengan undang-undang lama, tetapi pihak Jabatan Peguam Negara telah melihat ada beberapa perundangan perlu digubal dan dipinda, justeru mesyuarat akan diadakan sekali lagi pada hujung bulan ini.

“Sekiranya terdapat persetujuan daripada pihak kementerian yang berkaitan dan juga jemaah menteri, kita akan gubal satu undang-undang baharu selain membuat pindaan kepada undang-undang lain yang perlu,” katanya dipetik Berita Harian.

Rakyat sebelum ini menggesa kerajaan untuk bersikap lebih tegas susulan tindakan beberapa individu yang memuat naik komen biadap di media sosial terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

Dalam berkembangan berkaitan, Vui Keong berkata kajian semula bagi penambahbaikan kepada akta lain termasuk Akta Hasutan 1948 dijangka akan turut dibuat termasuk bagi mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.