Individu Gagal Bayar Denda Kesalahan Buang Sampah Diletakkan Label Monyet

KUALA LUMPUR  — Seramai 12 orang didenda mengutip sampah sambil memakai rompi bertulisan “monyet” sebagai hukuman membuang sampah merata-rata di Semporna, Sabah.

Hukuman itu, bermula 1 Januari lalu, bagaimanapun dikenakan apabila pesalah tidak dapat membayar denda bawah undang-undang kecil Anti Kutu Sampah, lapor Harian Metro.

Pegawai daerah Semporna Bianus Kontong menjelaskan 31 orang termasuk seorang pelancong yang membuang sampah merata-rata dikenakan denda, setakat kempen ini berjalan.

Seramai 19 orang membayar RM30 hingga RM500 tetapi 12 lagi gagal berbuat demikan dan dikenakan hukuman memakai rompi hijau dengan tulisan “monyet” di belakangnya.

“Mereka melakukan kerja amal mengutip sampah di kawasan pekan selama sejam dengan memakai vest berkenaan,” katanya seperti dilaporkan.

Portal itu tidak menjelaskan kenapa perkataan “monyet” diletakkan di pakaian tersebut.

Namun foto papan tanda kempen kebersihan di situ, yang dimuatkan di media sosial, menyatakan “hanya monyet yang boleh buang sampah sembarangan.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.