Calon Jangan Pura-pura Buat Kerja

KUALA LUMPUR –  Calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland  digesa menghentikan drama sesama sendiri sebaliknya tumpukan kepada mencari penyelesaian terhadap masalah penduduk sekitarnya. 

 Aktivis PSM Suresh Kumar berkata, calon bertanding harus berhenti berpura-pura bahawa mereka bekerja dengan masyarakat setempat – terutama Orang Asli, yang membentuk lebih daripada satu perlima daripada jumlah pengundi.

“Anggota parlimen akan datang, sama ada dari BN atau Pakatan Harapan, harus menghentikan drama itu.

“Berhenti berpura-pura dan lakukan dengan serius.

“Jangan katakan bahawa kamu telah bekerja dengan Orang Asli selama ini dan bahawa mereka telah dijaga. Come on lah, “katanya dipetik sebagai berkata dari MalaysiaKini.

Suresh juga mengulas lawatan pemimpin DAP, Lim Kit Siang ke penempatan Orang Asli di Cameron Highlands apabila beliau terperangkap di Kampung Orang Asli Semoi Lama pada Malam Tahun Baru, bersama calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran.

“Apabila saya melihat Lim memasuki penempatan itu, saya fikir apakah peranan yang akan dimainkannya (di Cameron Highlands)?

“Sekiranya ada sesuatu yang perlu diperkatakan, mengapa perlu keluar dari mulut Lim? Mengapa bukan Manogaran yang menyuarakannya?

“Jangan cakap kamu perlu bawa Lim jika ingin menimbulkan sesuatu. Jadi apa tujuan kamu sebagai seorang ahli politik yang mewakili Cameron Highlands?” soalnya.

Aktivis yang pernah berkhidmat di Cameron Highlands selama 15 tahun itu berkata terdapat empat isu utama di kawasan itu yang memerlukan penyelesaian segera iaitu tanah adat Orang Asli, pembalakan, jalan raya dan nasib mereka yang berpendapatan rendah (B40).

Mengenai tanah adat, beliau berkata masyarakat Orang Asli tidak diberikan hak tanah, kecuali beberapa kes di Selangor.

Suresh berkata etnik Semai di Kampung Raja dan Temiar di sempadan Gua Musang sentiasa menghadapi ancaman dan pengusiran dari tanah mereka.

Beliau dan masyarakat Orang Asli telah menghantar memorandum ke pejabat Menteri Besar Kelantan sebanyak tiga kali berhubung pengusiran ini dan pernah menganjurkan protes di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang.

Masyarakat Orang Asli, katanya, tidak hanya menghadapi ancaman daripada pihak berkuasa dan pemaju, malah dari kalangan masyarakat setempat juga.

Beliau mendedahkan cubaan seorang guru di Cameron Highlands dan rakan-rakannya menipu Orang Asli untuk mendapatkan enam ekar tanah – yang hanya dapat dihalang apabila mereka membuat laporan polis.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.