Video:Misi Pencarian MH370 Diteruskan

PUTRAJAYA – Satu perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika, Ocean Infinity Limited telah ditandatangani bagi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang telah hilang 4 tahun lalu di Lautan Hindi.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pencarian tersebut akan membabitkan kawasan seluas 25 ribu Kilometer di Selatan laut Hindi.

“Kami bersetuju untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 ini dalam tempoh masa 90 hari bermula pertengahan Januari 2018  dengan kekuatan 65 kru termasuk dua pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Misi utama pencarian ini adalah bagi mengenalpasti serpihan besar MH370 atau kotak hitam di lokasi bangkai pesawat merangkumi Perakam Suara Kokpit dan Perakam Data Suara Pesawat di selatan Lautan Hindi dengan keberangkalian penemuan sekitar 85 peratus,” katanya ketika sidang media tadi.

Perjanjian itu turut merangkumi terma `No Cure No Fee’ iaitu tiada pembayaran dibuat sekiranya tiada kejayaan penemuan pesawat berkenaan.

“Buat masa ini, kapal Seabed Constructor sedang dalam perjalanan ke kawasan pencarian dengan mengambil kesempatan daripada keadaan cuaca baik,” katanya.

Tambahnya lagi, terma bayaran sekiranya dijumpai adalah RM82 juta jika dalam kawasan pencarian 5,000 kilometer persegi, RM122 juta (kurang 10,000 kilometer persegi), RM204 juta (lebih 10,000 kilometer persegi) dan RM285 juta (lebih 25,000 kilometer persegi).

Turut menandatangani perjanjian ini adalah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity Limited, Oliver Plunkett.

Terdahulu, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal telah hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.