Tidak Adil Membandingkan Saya Dengan Awal – Ajak Shiro

KUALA LUMPUR – Pelawak popular, Ajak Shiro mengakui pengguna media sosial berlaku tidak adil dengan membandingkan dirinya dengan Awal Ashaari ketika mengendalikan program Melodi di TV3.

Ajak atau nama sebenarnya, Mohd. Hanaffi Razak, 32, berkata, dia menerima segala kritikan tetapi tidak perlu menjadi terlalu melampau sehingga melibatkan ahli keluarga.

“Tidak adil sekiranya peminat memperbandingkan saya dengan Awal kerana dia telah mengendalikan program tersebut selama enam tahun.

“Saya hanya mengendalikan program berkenaan kurang daripada sehari. Jadi, diharapkan agar penonton memberi peluang untuk menimba pengalaman untuk menjadi lebih baik,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar rancangan Bintang Bersama Bintang di sini petang tadi.

Selain dibandingkan dengan Awal, Ajak yang mengacarakan rancangan berkenaan bersama pelakon dan penyanyi, Janna Nick turut menerima nasib sama dan dikatakan kayu serta dituduh tidak sesuai menjadi hos.

“Saya tidak mengambil hati mahupun berasa marah dengan kritikan peminat kerana mengetahui masih baharu dan banyak perkara perlu dipelajari,” ujarnya.

Pelawak dan juga pelakon filem Rempit Sampai Langit itu pernah mengendalikan rancangan Galaksi bersama Tasha Shila di saluran TV9. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.