Rindu Jadi Pengacara

Meskipun lakonan kini menjadi keutamaannya, Shah Iskandar tidak pernah melupakan asal usulnya dalam bidang seni bermula sebagai pengacara di Singapura.

Pelakon berusia 35 tahun itu juga sudah lama memasang angan-angan untuk meneruskan dalam bidang itu di sini, namun belum bertemu peluang sesuai.

Menurutnya, dia tidak akan menolak sebarang tawaran jika ada disebabkan rindu untuk mengacara. Kalau boleh dia mahu berkongsi kebolehan sebenarnya dalam bidang itu.

“Ramai tidak tahu saya sebenarnya bermula sebagai pengacara di Singapura. Di sana saya memang lebih dikenali dalam bidang itu dan bukannya sebagai pelakon.

“Tapi itulah apabila menjejak kaki ke Malaysia dan menceburi bidang lakonan, peminat hanya kenal saya sebagai lakonan. Namun, saya tidak kisah pun kerana itu memang misi saya ke sini.

“Saya memang tercari-cari peluang untuk kembali mengacara namun rezeki belum sampai. Harapnya peluang itu akan sampai kerana saya tidak mahu mensia-siakan pengalaman sebelum ini dan pengacaraan pun sangat dekat dengan saya,” katanya.

Shah juga mengakui sangat mengagumi pengacara berkaliber yang ada di Malaysia sekarang. Menurutnya, itulah yang membuatkan semangatnya berkobar-kobar untuk mengacara semula.

“Saya paling suka dengan pengacara Alif Satar ketika ini. Dia sememangnya hos yang begitu berkarisma dan caranya sangat menyenangkan.

“Kalau dapat peluang nanti, saya teringin menjadikan dia sebagai rujukan untuk mengacara. Dia ada kaliber yang boleh dijadikan contoh oleh pengacara lain.

“Kalau pengacara lama, saya sangat sukakan Awal Ashaari,” katanya.

Dengan kemaraan ramai pelakon baru sekarang, menurut Shah, dia tidak kisah pun mengenai persaingan. Apalagi wajah menjadi taruhan utama sekarang, baginya itu perkara biasa.

“Saya pun pernah rasa berada di tempat mereka dan sememangnya wajah sangat penting untuk dijadikan kelebihan. Bagaimanapun, mereka perlu seimbangkan pakej itu dengan persembahan.

“Sebaik menembusi industri, mereka perlu sentiasa meningkatkan lagi reputasi diri ke tahap lebih tinggi. Peminat sekarang sudah bijak menilai daripada segi kredibiliti. Paling penting adalah niat mereka dalam industri ini. Kalau mengejar populariti memang susahlah,” katanya.

Rancak berlakon untuk drama buat masa ini, Shah mengakui dia belum bersedia beraksi di layar perak. Bukan tiada tawaran tapi dia sendiri belum ada keyakinan menggalas tanggungjawab sebesar itu.

“Tawaran memang ada sebelum ini tetapi sering bercanggah dengan tawaran drama. Lama-kelamaan saya terlepas semuanya.

“Bagaimanapun, saya sendiri memang belum yakin untuk berlakon untuk filem. Sedangkan berlakon drama pun sudah banyak kritikan apalagi kalau filem besar.

“Bukan menolak tapi jika ada tawaran kelak dan rasa boleh lakukan, saya pasti akan cuba,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.