PAN Kena Buli Sama Seperti Yang Berlaku Pada PAS Dulu

PAS telah memulakan `paku buah keras’ kepada Parti Amanah Negara (PAN) yang merupakan serpihannya. Isunya adalah berkisar kepada pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan (PH).

Sejak pembahagian kerusi untuk kawasan Parlimen di Semenanjung itu diumumkan pada konvensyen Pakatan Harapan Ahad lalu, yang menyaksikan PAN memperoleh 27 kerusi manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperoleh 52 kerusi, PKR (51) dan DAP (35), PAS berterusan menyindir PAN.

Bukan itu sahaja, PAN telah diperlekehkan kerana hanya mendapat 27 kerusi berbanding PPBM sedangkan kedua-dua parti hampir sama usianya iaitu kurang dua tahun penubuhannya.

Malah kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohd Nor, dalam pembahagian kerusi itu, PPBM dan PKR mendapat lebih banyak keuntungan berbanding PAN.

“Lebih menakjubkan, PPBM (BERSATU) mendapat bakal calon Perdana Menteri (PM) dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai calon PM jika mereka menang, sementara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Agak melucukan dan begitu menghairankan, parti serpihan yang dibentuk belum sampai dua tahun boleh mendapat tempat sebegitu tinggi sedangkan parti yang lebih kurang sebaya, PAN hanya mendapat 27 buah kerusi parlimen dan tidak dijanjikan apa-apa kedudukan tertinggi,” katanya dalam tulisan di portal PAS, Harakahdaily.

Keadaan itu, kata Riduan menunjukkan bahawa PAN telah dibuli, sama seperti yang berlaku kepada PAS ketika berada dalam gabungan pembangkang itu dulu.

“Atas jentera PAS, dana dan sokongan, pengaruh, pentas dan strategi PAS mereka (PKR dan DAP) bertanding dan menang tetapi akhirnya PAS juga yang tersingkir dan dipinggirkan,” katanya.

Dan pada hari ini, katanya, PAS yang ditubuhkan atas kekecewaan, telah merasai apa yang dirasakan oleh PAS suatu ketika dulu.

“Tetapi, mereka lupa dan tidak pernah serik ditipu, ditindas dan dijanjikan dengan pelbagai kata-kata manis yang indah di halwa telinga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.