Lawatan Kerja PM Ke Arab Saudi Penuhi Jemputan Raja Salman Abdulaziz

KUALA LUMPUR – Lawatan kerja Datuk Seri Najib Razak ke Arab Saudi adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Lawatan Perdana Menteri itu bagi membincangkan isu dua hala yang dipersetujui kedua-dua negara ketika kunjungan Raja Salman ke Malaysia, tahun lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya hari ini berkata, rombongan Perdana Menteri turut disertai isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; ibu, Tun Rahah Mohammad Noah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; ahli keluarga dan kenalan.

Perdana Menteri bersama keluarga dan beberapa kenalan turut mengerjakan umrah.

Kenyataan itu berkata, perbelanjaan ahli keluarga dan kenalan Najib ke Tanah Suci ditanggung sendiri manakala hanya Tun Rahah menaiki kapal terbang bersama Perdana Menteri ke Arab Saudi.

Katanya, nama keseluruhan delegasi dimasukkan dalam senarai rasmi rombongan Perdana Menteri bagi memudahkan urusan pentadbiran bagi menunaikan umrah.

Perdana Menteri dan rombongan turut diberi taraf tetamu negara oleh Kerajaan Arab Saudi. – BH

 

PENJELASAN PEJABAT PERDANA MENTERI MENGENAI LAWATAN KERJA YAB PM KE ARAB SAUDI

PMO MALAYSIA :-

10 JANUARI 2018

Lawatan kerja YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Arab Saudi adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Ia bagi membincangkan isu-isu dua hala yang telah dipersetujui kedua-dua negara semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada tahun lalu.

Rombongan YAB Perdana Menteri turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Jamil Khir, Datin Sri Rosmah Mansor, Tun Rahah Mohammad Noah, beberapa ahli keluarga, kenalan dan pegawai Perdana Menteri.

Selain itu, adalah menjadi hasrat YAB Perdana Menteri untuk menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja ini. Dato’ Sri Mohd Najib telah mengajak ahli keluarga beliau dan beberapa kenalan dalam lawatan ini bagi bersama beliau dalam mengerjakan ibadah umrah.

Adik-adik YAB Perdana Menteri termasuk kenalan beliau yang turut sama dalam lawatan ini telah membuat perbelanjaan sendiri ke Tanah Suci. Hanya Tun Rahah yang turut bersama Dato’ Sri Mohd Najib dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi.

Nama-nama mereka ini telah dimasukkan dalam senarai rasmi rombongan YAB Perdana Menteri bagi memudahkan urusan pentadbiran dengan pihak Arab Saudi bagi program ibadah umrah.

YAB Perdana Menteri dan ahli rombongan juga telah diberi taraf Tetamu Negara oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pejabat Perdana Menteri

1) PMO FACEBOOK

2) PMO TWITTER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.