KPDNKK Serbu Gerai Durian Siasat Kes Alat Timbang Tipu

PETALING JAYA – Tindakan sesetengah peniaga licik menipu berat jualan durian sebelum tular sejak beberapa hari lepas terus mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan KPDNKK.

Di Petaling Jaya misalnya, KPDNK daerah itu melancarkan beberapa serbuan  secara mengejut ke atas premis jualan yang dikenal pasti cuba menipu pengguna dengan menggunakan alat timbang  tidak sah.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Daerah Petaling Jaya, Ramli Nayan berkata, operasi sejak Isnin hingga semalam melakukan pemeriksaan ke atas 38 buah premis jualan.

“Antaranya, serbuan dijalankan di Jalan Tanduk dan SS2. Daripada 38 premis jualan yang diserbu, lima kes peniaga dikesan menggunakan alat penimbang yang tidak disahkan oleh KPDNKK,’’ kata beliau semasa ditemui media selepas operasi selesai.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harta dan Anti Pencatutan 2011.

Turut disita dalam serbuan, barangan jualan dan durian bernilai lebih RM6,000.

Sementara itu, Ramli berkata, hasil serbuan KPDNKK itu mendapati tiada kesalahan dilakukan peniaga membabitkan penipuan berat durian sebagaimana tular di media sosial.

Bagaimanapun tegas beliau, pemeriksaan bagi kesalahan itu akan terus dipantau pihak berkuasa.

Orang awam yang memiliki maklumat mengenainya diminta menyalurkan kepada KPDNKK bagi membolehkan pihaknya membuat tindakan lanjut. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.