Enam Pelawak Rebut Status Paling Bintang

SERAMAI enam pelawak popular dipilih menyertai program realiti lawak terbaharu, Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB 2018) yang bakal ditayangkan di TV3 bermula 14 Januari ini.

Membawakan medan peperangan lawak era baharu BBB 2018 dibarisi oleh Abam, Ajak, Issey, Mark Adam, Achey dan Shuk.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Zurina Othman, sebagai stesen penyiaran nombor satu di Malaysia, TV3 sentiasa komited dan menawarkan pelbagai variasi program hiburan menarik untuk penonton.

“BBB 2018 bakal menceriakan malam hujung minggu anda menerusi sketsa mencuit hati dengan kehadiran pelawak pelawak terkenal.

“Program ini menampilkan pentas mingguan di mana setiap peserta harus mempersembahkan sketsa dan ‘punchline’ selama 4 minit 30 saat serta lagu berdurasi 2 minit 30 saat yang diolah menjadi lawak mengikut kesesuaian dan kreativiti masing-masing,” katanya.

Zurina berkata, BBB 2018 turut memberi peluang kepada setiap pelawak untuk membawa seorang selebriti jemputan untuk mengambil bahagian setiap minggu.

“Lebih menarik, tiada penyingkiran akan dilakukan setiap minggu namun pemenang mingguan akan mendapat hadiah wang tunai RM10,000,” katanya.

BBB 2018 bakal bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap Ahad jam 10 malam.

Sistem permarkahan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 70 peratus daripada panel juri dan 30 peratus daripada undian atas talian.

Juri tetap setiap minggu akan menyaksikan pelawak Saiful Apek bersama seorang seorang juri jemputan.

Program yang bersiaran selama tujuh episod ini menampilkan AG sebagai pengacara tetap.

Juara BBB 2018 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.