Belum Apa-Apa Ramai Sudah Bantah Pencalonan Mahathir Sebagai PM

Tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih belum diumumkan, namun Pakatan Harapan (PH) sudah bertelagah sesama sendiri mengenai pemilihan Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan orang paling penting yang akan mengumumkan pembubaran Parlimen, ketika ini masih sibuk bekerja dan sedang berada di Arab Saudi untuk melakukan lawatan kerja sehingga 12 Januari.

Tetapi di tanah air, Pakatan Harapan masih bertelagah mengenai calon Perdana Menteri. Salah seorang daripada mereka ialah anak kepada mendiang Karpal Singh iaitu Sangeet Kaur Deo.

Mereka membantah pemilihan Mahathir kerana bimbang jika beliau kembali berkuasa, maka ‘Mahathirisme’ akan muncul semula.

“Meletakkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri juga seolah-olah menunjukkan Pakatan Harapan seperti tidak mempunyai calon lain untuk jawatan tersebut,” demikian kata Sangeet dan beliau juga sudah menjangkakan akan menerima kritikan kerana bersuara dalam isu terbabit.

Tapi Sangeet menegaskan, beliau tetap tidak berganjak daripada kenyataan yang dibuatnya mengenai Mahathir walaupun menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin DAP sendiri.

Sangeet mendapat sokongan abangnya, Ramkarpal yang merupakan Ahli Parlimen Gelugor.

Selain itu, beberapa pemimpin PH juga telah meluahkan bahawa mereka tidak bersetuju dengan Mahathir, yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun untuk kembali dicalonkan apatah lagi usianya sudah mencecah 93 tahun.

Contohnya Hizwan Ahmad (Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor), Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (Ketua Pemuda PAN KL), M.Manogaran (Timbalan Ketua DAP Pahang), kepimpinan Pemuda PPBM Pahang dan kepimpinan PKR Selangor.

PKR Selangor misalnya telah meluahkan rasa amat janggal untuk mengakui bahawa setelah begitu panjang perjuangan yang dilakukan, parti itu tidak mampu untuk mengangkat seorang tokoh sendiri bagi diusung sebagai calon bakal Perdana Menteri negara ini.

Tidak terkecuali M. Manogaran seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today secara sinis berkata, keputusan Pakatan Harapan menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri itu seperti pengakhiran filem Tamil yang baik.

Melihat kepada tiadanya persefahaman semua dalam pemilihan calon Perdana Menteri ini, apa yang akan berlaku jika Pakatan Harapan memerintah kelak?

Betapa keputusan penting seperti ini pun tidak mampu dicapai, bagaimana mereka mahu mentadbir negara. Itu belum lagi Kabinet bayangan. Sudah berapa lama banyak pihak mahu melihat Kabinet bayangan terbabit, tetapi sehingga kini masih belum ada.

Kisah pengagihan kerusi pada PRU14 juga masih menjadi pertikaian jadi bagaimana mahu mengharapkan mereka memerintah negara?

Tulisan :
Beruang Biru
BB733, Rabu
10 Januari 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.