VIDEO: Banjir, Saya Tak Dapat Bekalan Makanan

Kota Bharu – “Saya amat susah, duit tak ada, api (bekalan elektrik) pun mati (diputuskan), air pun tak boleh guna” luah Che Nordin Ramli.

 

Nordin, 45 ketika ditemui SuaraTV menceritakan kembali detik sukar yang dilalui oleh keluarganya ketika banjir besar yang melanda Pantai Timur baru-baru ini.

 

 

“Saya amat susah, duit tak ada, api (bekalan elektrik) pun mati (diputuskan), air pun tak boleh guna.

 

“Putus perhubungan, sejak hujan (ketika banjir) disebabkan itu saya (keluarga) tidak menerima bantuan makanan dan saya merasa amat dukacita” ujarnya sedih ketika hadir untuk menerima sumbangan bekalan makanan yang disalurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

 

Menurutnya walau ada pihak-pihak yang datang untuk memberikan bantuan dan bekalan makanan, namun ia tidak diberikan kepadanya.

 

Beliau yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Pasir Mas berkata banjir yang berlaku ini merupakan satu pengalaman pahit dan sukar untuk dilupakan sampai bila-bila.

 

Sementara itu menurut Yaakop Awang, 53, dari Kampung Bendang Pulau rumah kediamannya hampir musnah kerana dipenuhi lumpur setebal lima kaki.

 

 

Menurut Yaakop, beliau terpaksa ‘lari’ ke masjid yang berhampiran kerana tidak tahan sikap segelintir masyarakat yang membuang air (kencing) di merata-rata tempat.

 

“Saya tidak boleh duduk ditempat penempatan banjir, kerana ada penyakit ditambah dengan bau hapak dan hancing.

 

“Disebabkan bau busuk terutama dikawasan tangga, kami terpaksa bergilir-gilir membersihkan kawasan tersebut” ujarnya lagi.

 

Yaakob turut melahirkan rasa kesal atas kelemahan pengurusan di penempatan banjir.yang disifatkan tidak cekap.

 

“Adakalanya kami diberi makan tengah hari pada pukul empat petang (malah ada ketikanya) dalam makanan mempunyai ulat” ujarnya.

 

Seterusnya menurut Aini dari Kampung Laut berkata, beliau sedih kerana bekalan makanan yang dihantar tidak diagihkan secara adil.

 

 

Menurutnya walaupun bantuan yang dihantar banyak dan mencukupi namun ada segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil bekalan makanan berulang kali sehingga menyebabkan mangsa banjir yang lain kelaparan.

 

“Ada yang menerima bantuan berulang kali berbanding orang lain, saya pun tak tahu kenapa ada yang tergamak mengambil banyak kali tanpa memikirkan orang lain.

 

“(Mungkin) mereka nak bawa balik untuk buka kedai” ujarnya kecewa.

 

Aini ketika menceritakan pengalamannya berkata, ketika banjir beliau dan keluarganya hanya mampu mengharapkan belas ihsan dari jiran dan saudara mara untuk memberikan makanan.

 

“Ada juga bekalan yang diterima hanya disimpan di dalam stor, saya tak pasti apa motif mereka.

 

“Kita minta kalau boleh bekalan makanan yang ingin disalurkan dibungkus dan dihantar ke rumah-rumah mangsa banjir” katanya.

 

Hujan lebat yang turun di negeri-negeri Pantai Timur sebelum ini telah menyebabkan sebahagian besar daerah di Kuala Krai dan Gua Musang, termasuk kawasan yang tidak pernah terjejas sebelum ini mula dinaiki air.

 

Laluan Lebuh Raya Timur-Barat dari Jeli ke Gerik, Perak ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di Kilometer 66 malam ini.

 

Berikutan itu, beberapa sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Galas, Dabong; Sungai Lebir, Tualang; Sungai Golok, Rantau Panjang dan Sungai Kelantan terus meningkat melebihi paras bahaya.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tahun ini merupakan banjir paling buruk berlaku di Malaysia terutama di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

 

Paling memeranjatkan apabila hampir 90 peratus negeri Kelantan ditenggelami oleh banjir.

 

Jumlah mangsa banjir juga dianggarkan hampir 1200 ribu orang.

 

Menurut portal banjir kerajaan negeri, banjir besar yang melanda itu melibatkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.