Undang-Undang Cegah Ancaman Kegiatan Militan Dibentang Di Parlimen Mac Ini – PM

Pekan – Malaysia memandang serius ancaman keganasan yang berlaku di beberapa negara luar pada masa kini dan mengambil langkah proaktif menanganinya termasuk menjalin kerjasama dengan negara lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Perdana Menteri berkata, dengan kejadian terbaru serangan di pejabat majalah satira Charlie Hebdo, di Paris, Rabu lepas, soal keganasan tidak lagi boleh dihadapi secara bersendirian.

 

“Amat penting kita memperkukuhkan kerjasama antara negara yang mempunyai pendirian sama dalam hal ini termasuk perkongsian maklumat risikan dengan negara yang mempunyai pendirian yang sama.

 

“Jika kita tahu seseorang itu bakal menjadi pengganas, maka agensi penguat kuasa amat memerlukan maklumat itu supaya tindakan pencegahan perlu diambil sebelum sesuatu kejadian itu berlaku,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pusat operasi banjir Parlimen Pekan di Baitul Rahah di sini hari ini selepas melawat pusat pemindahan banjir di IKBN Paloh Hinai dan beberapa buah kampung yang terjejas dengan banjir sekitar Pekan.

 

Najib berkata selain memperkemaskan undang-undang sedia ada, satu akta baharu bagi mencegah ancaman keganasan dan kegiatan militan juga akan dibentangkan di Parlimen, Mac ini.

 

Beliau berkata langkah itu adalah untuk memberikan lebih kuasa undang-undang kepada pihak berkuasa untuk bertindak dan menjalankan langkah pencegahan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.