Tindakan Pegawai Khas KJ Tumbuk Saad Akan Dibela – Ketua Wira PERKASA

Kuala Lumpur – Sayap pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Wira PERKASA, hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan kekesalan berhubung tindakan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Iruan Zulkifli Mohamad menumbuk hingga mencederakan Ketua Wira PERKASA Parlimen Lenggong, Saad Abd Rahman.

 

Ketua Wira PERKASA Malaysia, Irwan Fahmi Ideris berkata, tindakan Iruan Zulkifli yang juga Pegawai Khas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin itu telah mengakibatkan Saad mengalami kecederaan di bahagian muka dan pihaknya akan memastikan Saad dibela.

 

“Sebagai Ketua Wira PERKASA, saya bertegas untuk membela nasib anak buah saya dan pihak kami akan mencari peguam untuk bela nasib Saad,” katanya.

 

Beliau turut mempersoalkan sama ada dengan jawatan yang disandangnya, Iruan Zulkifli beranggapan beliau boleh bertindak sesuka hati.

 

Tindakan itu, membolehkan kredibiliti serta integriti Iruan Zulkifli sebagai seorang pegawai khas kepada Ketua Pemuda UMNO yang bertaraf menteri penuh boleh dipertikaikan, katanya.

 

“Saya difahamkan tindakan liar dan tidak bertamadun itu berlaku berpunca daripada salah faham kecil sahaja.

 

“Saya ingin bertanya mengapa Iruan sampai perlu mengangkat tangan ke muka bangsa sendiri?

 

“Jika tidak menyukai Wira PERKASA sekalipun, tidak perlulah membuat tindakan sedemikian,” kata Irwan Fahmi dalam kenyataannya, Sabtu.

 

Beliau juga menyatakan individu seperti Iruan Zulkifli boleh menghancurkan keharmonian serta perpaduan di kalangan masyarakat Melayu dan berpendapat UMNO tidak perlu menyimpan individu seperti itu.

 

“Orang Melayu sentiasa penuh dengan adab dan adat. Malulah pada bangsa lain yang melihat kejadian seperti ini berlaku.

 

“Saya berhadap Iruan dikenakan tindakan oleh majikannya, dan Lembaga Disiplin UMNO sila ambil perhatian penuh mengenai kes ini,” gesa Irwan Fahmi yang bunyi sebutan namanya menyamai Irwan Zulkifli.

 

Dalam pada itu, beliau juga berharap tidak ada mana-mana pihak campur tangan dalam siasatan pihak berkuasa.

 

“Saad telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan saya amat berharap pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas dengan kadar segera.

 

“Diharap juga jangan ada pihak campur tangan dalam siasatan ini. Kami yakin pihak polis sentiasa menjalankan tugas dengan penuh integriti,” tegas Irwan Fahmi.

 

Baca: Kerana Salah Faham, Pegawai Khas KJ Tumbuk Pemuda Perkasa

 

Baca: Kes Pegawai Khas Tumbuk Orang, KJ Dakwa Tidak Sempat Untuk Bincang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.