‘Suamiku Encik Perfect 10’ Taruhan Feroz Kader

SENTUHANNYA dalam bidang pengarahan filem bukanlah setahun dua, malah deretan drama hits seperti Tentang Dhia, Chinta, Mentua VS Menantu, Pengantin Untuk Dijual, Matahari, Asmaradana, Janji Kekasih, Suria Di Cardoba, Adamaya dan Karlos, membuktikan kehebatan pemilik nama, Feroz Kader.

 

Melihat sahaja namanya di skrin selaku pengarah, pastinya ramai penonton tidak ragu-ragu untuk menyelami jalan cerita yang divisualkan di kaca televisyen.

 

Mula berjinak-jinak untuk mengarah drama adaptasi menerusi Adam & Hawa, kepercayaan diberikan sekali lagi untuk Sehangat Asmara apabila sentuhannya mendapat tempat di kalangan penonton.

 

Berjaya membuktikan kemampuannya, Feroz terus diberi peluang untuk mengangkat novel, Suamiku Encik Perfect 10 sebagai filem adaptasi.

 

Pun begitu, menurut Feroz, dia sendiri tidak menyangka bahawa karya itu akan diangkat ke layar perak kerana pada awal perbincangan, ianya dipersetujui untuk penghasilan supertelemovie.

 

“Untuk karya ini, saya diberi tugas untuk menyiapkannya sebagai supertelemovie yang dipecahkan kepada dua bahagian. Namun, selepas dipertontonkan, Astro dan penerbit mencadangkan agar karya ini diangkat ke layar perak.

 

“Katanya, karya ini cukup bagus dengan jalan cerita dan lakonan yang sangat berkesan. Apabila perkara itu dipersetujui, saya perlu membuat penambahan dari segi suntingan.

 

“Proses suntingan itu mengambil sedikit masa untuk menambahkan colour grading, adunan muzik, muzik latar dan gubahan lagu. Malah, daripada dua bahagian itu, saya perlu menggabungkan kepada satu dan beberapa babak perlu dipotong untuk memendekkan jalan cerita,” katanya.

 

Tambah Feroz, proses suntingan untuk menukar format supertelemovie kepada filem itu, memerlukan sedikit masa untuk memastikan ianya bersesuaian.

 

“Untuk menggabungkan bahagian satu dan dua itu, amat merisaukan saya kerana dalam pada masa yang sama, saya perlu memastikan jalan cerita tidak terusik.

 

“Begitu juga dengan babak kerana saya risau kalau ia melompat sehingga membuatkan penonton tidak faham. Ada beberapa babak yang menarik perlu dipotong kerana tuntutan durasi.

 

“Ada sebahagian babak juga perlu melalui proses penggambaran semula untuk kesesuaian penceritaan,” katanya lagi.

 

Kerjasama baik pelakon

 

Memakan masa selama 20 hari untuk proses penggambaran di lokasi, filem bergenre cinta dan romantik ini menjadikan kota London sebagai sebahagian daripada lokasi mereka.

 

Selama 10 hari di sana, Feroz berkata, dia tidak mengalami sebarang masalah untuk mendapatkan kerjasama daripada pelakon-pelakon yang terlibat.

 

Walaupun ianya adalah kali pertama untuk menggabungkan Lisa Surihani dan Aaron Aziz dalam satu karya, namun ia bukanlah kerjasama pertama dengan mereka.

 

“Saya pernah bekerja dengan Aaron, Lisa dan Syazwan Zulkifly sebelum ini. Cuma untuk menggabungkan mereka dalam satu cerita adalah kali pertama.

 

“Meskipun mereka adalah nama-nama besar, namun kerjasama dan komitmen mereka sangat baik. Mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan dan kami juga turut berkongsi pandangan untuk memantapkan lagi jalan cerita.

 

“Malah, sekiranya selepas ini masih ada peluang untuk bekerja dengan mereka, saya tidak teragak-agak kerana mereka adalah contoh pelakon yang menyenangkan produksi,” jelasnya lagi.

 

Perluas sayap pengarahan

 

Pertama kali mempertaruhkan karya filem, Feroz memberitahu bahawa dia agak takut dan sangat berhati-hati untuk menghasilkannya.

 

Risau dengan penerimaan daripada penonton dan penggemar filem, dia mengharapkan agar masyarakat memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

 

“Sebelum ini, pernah ada tawaran untuk menghasilkan filem, namun saya tak berani lagi kerana saya tahu filem memerlukan skop yang lebih luas.

 

“Namun, alhamdulillah, selepas menerima maklum balas daripada pihak atasan, ia mengembalikan semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik.

 

“Insya-ALLAH, sekiranya ada tawaran yang menarik untuk masa akan datang, saya akan mempertimbangkannya kerana saya rasa, sudah tiba masanya untuk saya maju selangkah lagi dalam bidang perfileman,” katanya.

 

Menyedari industri perfileman berdepan dengan masalah kutipan di pawagam yang semakin merudum, Feroz tetap positif dan mengharapkan yang terbaik untuk filemnya dan filem-filem lain yang bakal ditayangkan.

 

“Sudah tentunya saya mengharapkan yang terbaik, bukan sahaja dari segi kutipan. Apa yang penting, penonton gembira dan dapat menikmati jalan cerita filem ini.

 

“Bukan sahaja untuk filem saya, malah untuk filem-filem lain. Saya tahu, ramai di kalangan penggemar filem mula kecewa dengan filem kita, namun diharapkan agar rajuk itu tidak berpanjangan.

 

“Datanglah memberi sokongan kepada filem kita kerana kami di sini akan berusaha memberikan yang terbaik untuk anda semua,” katanya lagi.

 

Harap sambutan menggalakkan

 

Penghujung tahun lalu, syarikat produksi, Global Station Sdn Bhd, tampil dengan filem romantik, Manisnya Cinta Di Cappadoccia, arahan Bernard Chauly.

 

Menariknya, di saat industri mengalami kemerosotan, filem ini berjaya meraih kutipan yang agak tinggi berbanding rata-rata filem tempatan lain.

 

Mengharapkan situasi yang sama dengan filem sebelum ini, penerbit terkenal, Datin Zaiton Mohd Jiwa, berharap agar penonton dapat menikmati filem ini seadanya.

 

“Apa yang Kak Ton harapkan adalah sambutan daripada penonton akan berterusan. Kak Ton percaya, penggemar filem tempatan masih ada dan mereka menunggu sesuatu yang boleh menarik minat mereka di pawagam.

 

“Untuk filem ini, walaupun berkisarkan genre cinta dan romantik, namun ia memiliki kekuatan yang tersendiri. Penonton boleh datang menonton dalam suasana yang cukup tenang dan santai.

 

“Kak Ton yakin, filem ini sangat berbaloi untuk ditonton, tambahan pula pelakonnya adalah nama-nama besar dalam industri. Malah produksi juga bekerja keras untuk memastikan filem ini antara yang terbaik,” jelasnya lagi. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.