Suami Umie Aida Dakwa Tidak Tahu Rumah Kena Lelong

Kuala Lumpur – Datuk Khairuddin Abu Hassan mendakwa beliau tidak menerima sebarang notis atau writ daripada pihak bank memaklumkannya yang penthouse miliknya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, dibuka untuk lelongan.

 

Naib Ketua Umno Batu Kawan itu berkata, berita lelongan hartanahnya itu hanya diketahui selepas menunaikan solat Jumaat semalam dan menyifatkannya sebagai satu kejutan.

 

“Agak mengejutkan kerana saya masih lagi menghuni rumah ini, namun tidak pernah dimaklumkan tentang lelongan tersebut,” katanya.

 

Jurucakap syarikat Ng Chan Mau & Co memberitahu, hartanah yang bernilai RM2.1 juta itu akan dilelong di Hotel Istana Kuala Lumpur pada 10.30 pagi ini.

 

Suami kepada pelakon Umie Aida itu berkata, beliau sedar mengenai pengisytiharan muflis berkenaan namun menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

 

Khairuddin sebelum ini membuat laporan polis terhadap 1MDB serta anak syarikatnya kerana mendakwa ia menjalankan perniagaan yang boleh dipersoalkan.

 

Beliau juga dalam satu temu bual bersama sebuah portal berita mendakwa pemimpin Umno Pulau Pinang tidak melakukan kerja, sebaliknya hanya ‘tidur’.

 

Khairuddin pada Ahad mendakwa sedang mempertimbangkan untuk menyaman pihak yang menuduhnya membuat laporan palsu terhadap 1MDB.

 

Beliau berkata, peguamnya Datuk Seri Rajan Navaratnam sedang meneliti laporan berita tentang kenyataan terhadapnya dan akan membuat keputusan tidak lama lagi sama ada untuk menyaman pihak berkaitan.

 

Pemuda Umno Batu Kawan pada Isnin menggesa Khairuddin, yang sebelum ini membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dipecat dari jawatan dalam parti sekiranya benar ahli perniagaan itu kini diisytiharkan muflis.

 

“Kami harap ada siasatan ke atas perkara ini kerana kita tidak mahu seorang pemimpin yang dipilih sebenarnya sudah muflis tetapi masih memegang jawatan selain lantang mengkritik parti sendiri.

 

“Dokumen yang diserahkan termasuk salinan surat dari Jabatan Insolvensi yang menunjukkan beliau muflis, maklumat mengenai 138 syarikat milik Khairuddin dan surat saman polis,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.