SOP Hadapi Banjir Besar Akan Dirangka – PM

PEKAN: Prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi banjir besar akan dirangka sebagai garis panduan dan dijangka dibentangkan pada Kabinet dalam tempoh enam bulan lagi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Perdana Menteri berkata SOP itu nanti akan mencakupi pelbagai aspek termasuk penambahan aset, arahan dan kawalan, peralatan komunikasi, latihan simulasi, kaji cuaca dan bekalan elektrik.

 

Beliau berkata SOP sedia ada hanyalah untuk menghadapi banjir biasa yang memerlukan SOP baharu dirangka bagi membolehkan kerajaan lebih bersedia daripada semua aspek termasuk alat bersesuaian untuk menghadapi banjir besar.

 

“Jika dalam soal ini ATM (Angkatan Tentera Malaysia) menjadi agensi utama maka ia akan dibekalkan dengan peralatan yang bersesuaian untuk hadapi bencana ini dan dalam masa yang sama aspek ramalan kaji cuaca jua perlu lebih tepat dan awal supaya dapat memberikan maklumat awal.

 

“Apabila tahu awal, kami juga boleh menempatkan anggota seperti tentera, bomba dan agensi lain lebih awal supaya apabila air naik kami mempunyai kemampuan yang lebih besar,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi Banjir Parlimen Pekan di Baitul Rahah di sini hari ini. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.