PM Mahu SOP Banjir Besar Dibentang Dalam Tempoh 6 Bulan

Pekan – Datuk Seri Najib Razak mahu Prosedur Operasi Standard (SOP) banjir besar dapat dibentangkan dalam enam bulan dari sekarang.

 

Perdana Menteri berkata, SOP banjir besar itu meliputi penambahbaikan aset, latihan simulasi, peralatan komunikasi dan pembabitan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

 

“Ini termasuk memastikan ramalan kaji cuaca tepat lebih awal supaya dapat gerakkan pasukan petugas dan keselamatan ke kawasan berisiko,” katanya pada sidang media di Pekan, sebentar tadi.

 

Perdana Menteri turut berkata semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada musibah banjir luar biasa yang melanda negara ini dengan menentukan langkah persediaan menghadapi bencana berskala besar pada masa akan datang.

 

“Inilah sikap yang perlu ada supaya kita lebih bersedia dalam satu ikatan sebagai sebuah negara dan komuniti supaya persediaan proaktif dapat diambil pada masa akan datang,” katanya lagi.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan persekolahan daripada Yayasan Pahang kepada kira-kira 260 murid yang terlibat dengan musibah itu di sini hari ini –

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pagi ini bagi menyampaikan bantuan persekolahan dan meninjau keadaan terkini pasca banjir di daerah ini.

 

Selepas majlis tersebut, Perdana Menteri dijadual menghadiri gotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Serambi dan SK Padang Rumbia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.