Persiapan Kahwin Memeningkan – Zul Ariffin

Pelakon kacak Zul Ariffin, 28, mengakui persiapan perkahwinan merupakan hal yang rumit dan atas faktor itu, dia masih belum membuat keputusan bila dia akan mendirikan rumah tangga bersama kekasih hatinya, penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai.

 

“Tahun ni tiada kahwin,” ujarnya dengan riak wajah serius sebelum meneruskan kata-kata.

 

“Bila kena fikir tentang hal persiapan perkahwinan, saya rasa rumit dan tidak mahu pening kepala. Atas sebab itu, saya rasa nanti dululah (kahwin).

 

“Banyak lagi kerja lain yang saya harus laksanakan dulu dan apabila sudah betul-betul bersedia nanti, saya terus kahwin. Bukan nak buat majlis yang besar-besar pun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Nivea Men Cool Kick Deodorant di Kuala Lumpur, semalam.

 

Zul bersama dua lagi personaliti iaitu pelakon, Nazim Othman dan Kevin Zahri dipilih sebagai ikon kempen produk berkenaan.

 

Berkongsi mengenai perancangan kerjaya, Zul menyatakan dia mahu memberi lebih fokus kepada lakonan selain turut serta dalam kempen dan pengiklanan produk.

 

Menerusi impak drama bersiri popular, Rindu Awak 200%, Zul mengakui semakin ramai peminat menyedari kehadirannya dalam industri hiburan tanah air.

 

“Saya baru saja selesai penggambaran Istikharah Cinta. Tidak lama lagi saya akan mulakan pula penggambaran drama Mr. Londo VS Miss Langkawi.

 

“Tahun ini jadual pengammbaran saya tidak terlalu padat seperti tahun lalu. Misalnya, selesai saja satu penggambaran, saya akan berehat sekejap dalam sebulan sebelum bersambung semula penggambaran lain.

 

“Namun, buat masa ini saya tidak mengambil tawaran berlakon filem memandangkan sekarang dalam keadaan sambutan filem yang masih lagi dingin, jadi saya tidak mahu ambil risiko. Jadi, saya rasa lebih baik saya tumpukan pada lakonan drama,” katanya.

 

Sementara itu, mengulas mengenai watak romantik lakonannya sekaligus telah melonjakkan namanya, Zul mengakui dibandingkan lima tahun lalu, karakter seperti seorang suami penyayang dan kekasih romantik adalah karakter paling susah untuk dilakonkan kerana ketika itu dia lebih banyak menerima tawaran watak antagonis.

 

Namun, dengan kepercayaan diberikan padanya menerusi beberapa drama sejak akhir-akhir ini, ia membuahkan hasil. Begitupun, dia sentiasa berusaha memberikan kelainan dalam lakonannya.

 

“Susah bagi saya membawakan karakter romantik sebab dulu saya lebih kerap bawa watak jahat dan waktu itu tidak ramai yang nampak kehadiran saya.

 

“Tapi apbila beberapa kali dapat karakter romantik, tidak sangka ia menjadi. Namun, saya tetap berusaha memberikan kelaian dalam setiap lakonan saya,” katanya. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.