N.Surendran Selar Kenyataan Ketua Polis Negara

Kuala Lumpur – Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa serangan di Paris menunjukkan bahawa Akta Hasutan diperlukan di negara ini merupakan satu percubaan terdesak untuk membenarkan penggunaan berterusan akta kuno berkenaan.

 

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Padang Serai, N.Surendran berkata keperluaan tersebut adalah tidak logik dan berasas kerana bagaimana Akta Hasutan boleh melindungi negara daripada serangan pengganas.

 

Menurutnya, hanya penguatkuasaan dan pelaksaanan tugas yang baik oleh polis dan juga pengumpulan maklumat risikan yang cekap boleh menghalang insiden keganasan daripada berlaku.

 

“Sebaliknya, Akta Hasutan digunakan untuk menghalang kritikan atau teguran yang sah terhadap kerajaan ataupun pihak berkuasa di negara ini.

 

“Sebagai contoh kenapa pihak polis kini menyiasat wakil rakyat PKR, Haniza Mohamed Talha semata-mata kerana mempersoalkan peruntukan belanjawan persekutuan untuk Permata? Bolehkah Ketua Polis Negara menjawab soalan ini? soalnya hari ini.

Tambah Ahli Biro Politik PKR itu lagi, adalah sesuatu yang membimbangkan apabila Ketua Polis Negara memilih untuk campur tangan dalam pertikaian yang berlaku antara Barisan Nasional dan parti pembangkang serta masyarakat sivil mengenai pengekalan dan penggunaan akta tersebut.

 

Jelasnya, Khalid sebagai penjawat awam atasan tidak perlu untuk campur tangan secara terbuka dalam perkara yang melibatkan isu dan polisi politik.

 

“Tugas utama beliau adalah penguatkuasaan undang-undang.

 

“Campur tangan beliau mengenai polisi yang di luar bidang kuasanya hanya akan mencemarkan dan merosakkan reputasi pasukan polis,” ujarnya. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.