Kritikan 1MDB Dipengaruhi Politik

Rentetan serangan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didorong politik dan tidak mempunyai “asas dalam realiti”, kata ketua pengarah eksekutif kumpulan yang baru dilantik, Arul Kanda yang bersedia mengemudi syarikat yang dibebani hutang itu melalui satu kajian semula tahun ini.

 

Ahli perbankan pelaburan yang berpengalaman luas itu berkata, “agak jelas” sebahagian besar tuduhan kepada syarikat itu didorong “politik dan bukannya pertimbangan perniagaan tulen,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam temu bual e-mel.

 

Tanpa memberi nama, Arul berkata “individu tertentu” yang tiada maklumat dalaman berhubung operasi syarikat, dan tidak mempunyai “fakta lengkap atau memahami konteks keputusan” yang dibuat 1MDB, berada di barisan hadapan menyerang firma pembangunan strategik negara itu.

 

“Sebagai pengurus bank, saya pandang serius keperluan mengusahakan setiap sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu, apabila mempertimbangkan sama ada untuk mengambil peranan ini atau tidak, saya memeriksa setiap maklumat yang saya dapat tentang 1MDB, termasuk pelbagai laporan media mengenai tuduhan yang dilemparkan kepada syarikat itu.

 

“Kemudian, saya berpeluang mengadakan perbincangan mendalam dengan Lembaga Pengarah 1MDB, dan saya secara peribadi juga melihat kepada latar belakang isu-isu yang disebut dalam tuduhan yang dibuat itu.

 

“Di sebalik semua ini, apa yang saya boleh katakan ialah, walaupun tentunya ada beberapa cabaran yang perlu – dan boleh – diatasi, majoriti tuduhan yang dibuat terhadap syarikat yang tidak mempunyai asas dalam realiti,” katanya.

 

1MDB menerima kritikan bukan sahaja daripada pemimpin pembangkang, tetapi juga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana hutangnya yang besar, penggunaan wangnya dan operasinya yang tidak jelas.

 

Terdapat kebimbangan yang hutangnya dianggarkan mencecah RM40 bilion, dalam masa hanya lima tahun ia beroperasi, ketika nilai ringgit yang makin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat.

 

Pemimpin Umno Pulau Pinang Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan juga membuat laporan polis terhadap syarikat itu akhir tahun lalu kerana wujud unsur syak dalam aktiviti kewangannya dan aktiviti pinjamannya yang besar.

 

Arul, 38, mengakui yang syarikat itu mempunyai isu untuk diatasi, terutamanya daripada segi persepsi negatif orang ramai, berjanji akan menanganinya sendiri, dan akan bersikap telus dengan semua pihak, termasuk pengkritik.

 

Walau ramai bercakap tentang hutang syarikat itu, Arul percaya 1MDB ialah peminjam yang bertanggungjawab dan sentiasa memenuhi obligasi kewangannya.

 

“Dan, di sebalik semua spekulasi pada tahun-tahun lepas, hakikatnya 1MDB tidak pernah gagal membayar dan pasti tiada niat atau sebab untuk berbuat demikian pada masa akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata orang ramai sering lupa yang syarikat itu mempunyai “aset yang sangat mengagumkan”, termasuk 15 loji tenaga di lima negara, bank tanah dan sumber manusia yang berharga.

 

“Dengan strategi yang betul, saya yakin kita boleh memaksimumkan nilai aset-aset ini dan mengatasi cabaran yang dihadapi syarikat,” katanya.

 

Mengulangi yang 1MDB bukan sebuah dana kekayaan negara dan tidak dibiayai Putrajaya di luar pinjaman RM1 juta itu apabila ia mula-mula ditubuhkan, Arul berkata syarikat swasta itu tidak pernah menerima apa-apa ekuiti daripada kerajaan.

 

Oleh itu, beliau berkata tidak menghairankan ia mampu meningkatkan wang melalui pasaran hutang dari semasa ke semasa bagi membiayai dan membangunkan projek-projeknya.

 

Dengan latar belakang undang-undang dan perbankan yang dimilikinya, Arul berkata yakin pengalamannya akan berguna dalam kajian semula strategik yang akan difahaminya bagi memaksimumkan nilai aset 1MDB.

 

Kajian semula itu, katanya, akan termasuk segala-galanya dari “A hingga Z”, daripada perkara-perkara di peringkat korporat ke pembangunan operasi.

 

“Dalam kes saya sendiri, saya bercadang menjalankan kajian menyeluruh mengenai perniagaan ini dan operasinya daripada perspektif analisis. Ini akan membolehkan kami membangunkan strategi bagaimana kami boleh menjana nilai semaksimum mungkin dari aset kami, serta menangani beberapa cabaran yang dihadapi syarikat,” katanya. – Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.