Kes Tumbuk Ketua Pemuda Lenggong : KJ Belum Jumpa Iruan

Kuala Lumpur – Khairy Jamaluddin masih lagi belum menemui Ketua Pemuda Lenggong, Mohamad Iruan Zulkefli bagi mendapatkan penjelasan berhubung kes ‘tumbuk’ yang berlaku di Dewan Kampung Kelantan, Lenggong, Khamis lepas.

 

Menurut Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu, beliau belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pegawai Khasnya itu, namun akan cuba untuk menyelesaikan dalam tempoh segera.

 

“Saya difahamkan, ada laporan polis dibuat mengenainya (Iruan), jadi saya serahkan kepada pihak berkenaan untuk buat sebarang siasatan terhadap kes itu.

 

“Sekiranya ada apa-apa yang perlu dijawab saya yakin saudara Iruan akan dapat memberi keterangan kepada polis.

 

“Saya juga berharap agar beliau dapat memberikan kerjasama sepenuhnya berhubung perkara itu,” katanya ketika ditanya pada sidang akhbar di Universiti Sunway pada Sabtu.

Khairy bekata, beliau mengetahui berkenaan apa yang telah berlaku mengaitkan pegawai khasnya itu menerusi aplikasi WhatsApp yang diterima serta beberapa saluran lain.

“Saya tak  pasti, sampai hari ini, Lillahi Taala, saya tak sempat untuk bincang dengannya,” ujar beliau.

 

Khamis lalu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Bahagian Lenggong, Saad Abdul Rahman mendakwa cedera di muka dan menerima tiga jahitan, akibat ditumbuk Iruan yang merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian sama ketika majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir diadakan di Dewan Kampung Kelantan, Lenggong.

 

Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 2.25 petang, ketika Saad bersama dua rakannya, termasuk seorang daripadanya pemandu kepada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, tiba di dewan berkenaan bagi mengiringi Shamsul yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong, menghadiri majlis yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

 

Insiden dikatakan tercetus apabila mangsa mendakwa dihampiri seorang lelaki yang dikenalinya sebagai Iruan, yang tiba-tiba menerpa ke arah beliau dan meminta PERKASA jangan menganggu urusan Pemuda UMNO.

 

Mangsa turut mendakwa  lehernya telah dicekak dan mukanya ditumbuk lelaki terbabit, manakala beberapa rakan lelaki itu telah membantu dengan menolaknya ke dinding.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.