Jasa Dan Pencapaian Besar Tun Abdul Rahman Perlu Diingati – Dr. Jeniri

Kuala Lumpur – Kepulangan Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya’kub ke rahmatullah malam semalam meninggalkan pelbagai jasa dan pencapaian besar yang perlu diingati generasi semasa, ujar penganalisis politik Dr Jeniri Amir.

 

Pensyarah Program Kajian Komunikasi di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu ketika dihubungi Astro AWANI, memberitahu bahawa tokoh berkenaan diingati kerana kejayaan beliau membentuk pentadbiran yang memacu lanskap sosial, politik dan ekonomi Sarawak ke arah yang lebih mantap dan stabil.

 

“Beliau berjaya membentuk kerajaan campuran dari pelbagai parti sekali gus membawa Sarawak ke hadapan, termasuklah pembangunan ekonomi dan infrastruktur. Bayangkanlah ketika itu negeri ini berdepan dengan sosiopolitik yang bergelora, namun pentadbiran Tun Abdul Rahman mampu membawa kestabilan,” ujanya.

 

Tambah Jeniri, satu lagi kejayaan Tun Abdul Rahman adalah ketika berjaya memujuk kumpulan Komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat. Ia tercatat dalam sejarah Operasi Sri Aman yang membawa kepada pengakhiran ancaman komunis pada tahun 1974.

 

“Beliau jugalah individu penting di sebalik Unit Perancang Negeri (SPU) Sarawak dan juga Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), malah Petrajaya yang kita kenali hari ini juga adalah antara hasil pencapaiannya.

 

“Beliau ialah pemimpin arkitek yang menyediakan landasan stabil demi masa depan Sarawak,” rumus Jeniri.

 

Sokongan padu

 

Di peringkat nasional pula, menurut Tun Abdul Rahman melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tokoh dari Sarawak yang bertindak meyakinkan rakyat Sarawak dan membina sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia.

 

“Beliau telah dilantik untuk ke peringkat pusat untuk menyandang beberapa jawatan penting negara dan antara jasa besarnya adalah ketika menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1969.

 

“Bayangkanlah ketika menjawat jawatan itu negara baru sahaja berdepan dengan peristiwa 13 Mei, dan tentunya ia satu tugas yang mencabar. Namun, kewibawaannya mendapat kepercayaan Perdana Menteri Tun Abdul Razak,” ujar Jeniri.

 

Kata penganalisis tersebut, Tun Abdul Rahman telah melaksanakan perubahan dasar pendidikan dengan melaksanakan peralihan bahasa pengantar daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu secara berperingkat peringkat melalui penggubalan Dasar Pelajaran Kebangsaan.

 

Selain itu, atas komitmen dan penyeliaan tokoh tersebut, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada tahun 1970, malah Tun Abdul Rahman telah memperkenalkan Universiti Putra Malaysia (Kampus Bintulu) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sarawak.

 

“Generasi muda hari ini tidak tahu bahawa beliau jugalah yang telah menghapuskan peperiksaancommon entranceDarjah 6. Suatu masa dahulu, mereka yang hendak melangkah ke tingkatan satu perlu melepasi peratusan tertentu dalam penilaian.

 

“Dasar tersebut mewujudkan sekatan dan ia didapati kurang sesuai untuk diteruskan. Sejak pemansuhannya, ribuan pelajar berjaya masuk ke tingkatan satu,” terangnya.

 

Berjiwa rakyat

 

Tun Abdul Rahman, mengikut pandangan Jeniri, bukan sahaja menunjukkan kematangan politik di peringkat negeri mahupun nasional. Lebih daripada itu, beliau merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat.

 

Jeniri mengimbas: “Saya sendiri pernah menulis sepucuk surat untuk dihantar kepadanya. Tulisan tangan itu adalah ketika saya ingin memohon biasiswa dan juga pertimbangan untuk melanjutkan pelajaran ke univerisiti. Dia seorang pemimpin berjawatan tinggi namun surat tulisan tangan saya itu mendapat perhatian beliau untuk dipertimbangkan lalu diluluskan.

 

“Saya juga mengetahui terdapat seorang pelajar Cina yang menzahirkan hasrat yang seumpamanya dengan menulis surat kepada beliau, dan Tun Abdul Rahman telah memberi maklum balas positif dengan mempelawa pelajar itu datang terus ke pejabat beliau.”  –  Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.