Isu Harakah: Saya Mahu Selesai Secara Keluarga – Ahmad Lutfi

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman berharap isu melibatkan dirinya dan Lembaga Pengarah lidah rasmi parti PAS itu dapat diselesaikan secara kekeluargaan.

 

Ahmad Lutfi berkata masalah yang timbul boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu diperbesar-besarkan lagi oleh mana-mana pihak.

 

Katanya, beliau menghormati semua anggota lembaga pengarah dan pengurusan Harakah dan merasakan mereka juga memahami apa sebenarnya berlaku.

 

“Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan; perkara ini boleh diselesaikan dengan baik, boleh selesai secara keluarga.

 

“Saya bukan mahu mencari musuh tetapi saya mahu berkhidmat untuk parti dan saluran saya ialah Harakah, saya ‘orang media’, itu ruang saya untuk berjuang,” katanya dalam satu pertemuan dengan Astro AWANI di kediamannya hari ini.

 

Ahmad Lutfi juga menjelaskan beliau sudah bersedia untuk kembali menjalankan tugas seperti biasa dan mempunyai beberapa perancangan untuk Harakah bagi tahun 2015.

 

Keyakinan untuk kembali bertugas seperti biasa dikuatkan lagi apabila doktor memberitahu penyakit yang dihidapinya mempunyai tanda positif untuk pulih.

 

“Doktor juga memberitahu saya, amat sukar untuk saya memperolehi ‘pencen ilat’ kerana kesihatan saya semakin pulih.

 

“Pencen ilat hanya diberikan kepada mereka yang mengalami keuzuran yang berkekalan atau tidak mungkin akan sembuh yang mana mengakibatkan seseorang pekerja itu tidak mampu mencari nafkah,” katanya lagi.

 

Biarpun cukup bersedia untuk kembali bertugas, Ahmad Lutfi menjelaskan beliau rela diberikan jawatan lain jika kesihatannya kembali terganggu selepas kembali menjalankan tugas.

 

“Saya tidak suka untuk menyusahkan orang lain; saya tidak akan susahkan Harakah dan PAS jika keadaan kesihatan saya kembali teruk.

 

“Saya sedia untuk diberikan jawatan lain yang pihak pengurusan rasakan sesuai,” tambahnya.

 

Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa lembaga pengarah Harakah telah menasihatkan Ahmad Lutfi untuk melepaskan jawatan disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya.

 

Namun sumber lembaga pengarah Harakah memberitahu Astro AWANI, pihaknya hanya mengadakan perbincangan dengan Ahmad Lutfi dan bukan memaksanya untuk meletak jawatan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.