Hanya Telefon bimbit Asas Tanpa Internet Dibenarkan

Kuala Lumpur – Jika pelajar dibenarkan untuk membawa telefon ke sekolah, mereka seharusnya membawa telefon bimbit asas tanpa internet.

 

Itulah antara pandangan pembaca AstroAwani.com tentang isu membawa telefon bimbit ke sekolah yang berkata ia merupakan satu keperluan terutama sekali ketika waktu kecemasan.

 

Wan Dorishah mencadangkan agar Kementerian Pendidikan dapat membuat telefon bimbit khusus untuk semua pelajar sekolah.

 

“Ia adalah telefon bimbit asas tanpa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang hanya boleh digunakan untuk membuat panggilan. Boleh caj miniman RM10-RM15 seorang dan memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk berniaga,” katanya.

 

Fazrin Fauzi turut mempunyai cadangan yang sama.

 

“Bawalah telefon bimbit yang tidak ada internet seperti Nokia 3210. Anak-anak ini perlu telefon bimbit untuk kecemasan dan ibu bapa boleh selidik kemana anak-anak mereka pergi,” kata Fazrin.

 

Zulkifli Ismail mencadangkan agar murid-murid membawa telefon bimbit 2G yang tidak mempunyai kamera dan juga internet.

 

Sementara itu, beberapa pembaca tidak setuju dengan cadangan membenarkan murid-murid untuk membawa telefon bimbit ke sekolah.

 

Kata mereka, ia akan menjejaskan pembelajaran mereka.

 

“Tidak wajar kerana sekolah kami pernah memberi kebenaran buat seketika. Tidak sampai seminggu, kesannya amat buruk sekali. Tidak rasa macam sekolah dah masa itu, macam kat pusat membeli belah.

 

“Bila guru bercakap, semua buat tidak tahu, sibuk dengan telefon bimbit masing-masing. Disiplin sekolah sekarang amat mendukacitakan,” kongsi Bint Alhadri.

 

Tambah Fatin Nuraisyah, “Pada pendapat saya boleh sahaja tetapi dengan syarat guru itu sendiri perlu bertegas memberi amaran supaya jangan langsung menggunakan telefon bimbit dalam kelas atau sesi pembelajaran. Jika didapati tertangkap, telefon bimbit dirampas tanpa banyak soalan.

 

“Ketegasan itu penting.”

 

Suraya Othman pula berkata penggunaan telefon bimbit akan membuang masa para pelajar.

 

“Bawak telefon bimbit ke sekolah lepas itu rakam aksi buli, selfie beramai-ramai, lepas itu akan layari internet dan main game. Buang masa sahaja,” kongsi beliau.

 

Ada juga yang menyeru agar telefon awam di sekolah dapat diperbanyakkan.

 

“Banyakkan telefom awam di sekolah supaya para pelajar boleh menghubungi ahli keluarga kalau perlu dan telefon awam tersebut hendaklah dipasang di hadapan bilik guru,” kongsi Shaik Faridhudheen Anverdeen.

 

Tambah Siti Fairuz, “Baiki sahaja telefon awam yang selalu rosak itu.”

 

Minggu lalu, exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain agar  Kementerian Pendidikan menimbang semula keputusannya untuk tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah.

 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berpendapat bahawa pelajar yang membawa telefon bimbit ke sekolah disifatkan golongan yang mencari publisiti murahan dan bukan di dalam budaya masyarakat negara ini.

 

“Mereka ini (pelajar) kebih kepada hanya mahu glamour dan menunjuk-nunjuk telefon mereka berbanding untuk berkomunikasi,” katanya.

 

Beberapa Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru berkata proses pengajaran dan pelajaran boleh terganggu jika murid-murid dibenarkan untuk membawa telefon ke sekolah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.