Ekor Pesawat Air Asia Berjaya Diapungkan, Kotak Hitam Terus Dicari

KUALA LUMPUR: Pasukan penyelam gabungan Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI) akhirnya berjaya mengangkat bahagian ekor bangkai pesawat AirAsia QZ8501 dari dasar laut Selat Karimata, dekat Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah hari ini, laporKompas.com.

 

Laporan pemantauan dari Kapal Banda Aceh itu menjelaskan bahawa belon yang digunakan untuk mengangkat ekor pesawat berhasil mengapungkan bangkai pesawat tersebut kira-kira jam 11.50 pagi waktu tempatan.

 

Kelibat ekor pesawat berkenaan juga sudah mula terlihat di permukaan laut yang berombak.

 

Kerja-kerja pengapungan ekor pesawat itu sudah bermula sejak Khamis lalu namun pasukan penyelam berdepan pelbagai rintangan seperti faktor cuaca, kekuatan arus dan juga jarak pandangan.

 

Bahagian ekor pesawat itu kemudiannya ditarik dan diangkat ke kapal Crest Onyx untuk terus dibawa ke Pangkalan Bun bagi menjalani pemeriksaan terperinci.

 

Selain dilengkapi pengangkut yang mampu mengangkat beban seberat 50 tan, kapal Crest Onyx milik SKK Migas yang digunakan dalam misi tersebut memiliki dek terbuka yang luas.

 

Pencarian ekor pesawat itu menjadi misi penting kerana bahagian tersebut menyimpan kotak hitam yang menyimpan pelbagai data penerbangan dan mampu membantu siasatan insiden nahas tersebut.

 

Walau bagaimanapun, alat pengesan sonar dari kapal navigasi Jadayat mendapati bahawa kotak hitam itu sudah terpisah dari bahagian ekor pesawat dan dihanyutkan arus sejauh 1.7 batu nautika.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.