AirAsia Bantu Mangsa Banjir Pantai Timur

Kuala Lumpur – Meskipun berdepan detik-detik sukar, berikutan nahas yang menimpa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, syarikat penerbangan tambang murah itu tetap tidak lupa untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur Semenanjung, menerusi pelbagai cara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, antaranya ialah menyediakan ruang kargo percuma, bagi penghantaran barangan bantuan kemanusiaan dan memberi keistimewaan penerbangan tanpa bayaran untuk sukarelawan ke negeri-negeri terjejas banjir.

 

Menurutnya, setakat ini, AirAsia telah membantu pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), dengan menghantar 36 tan barangan bantuan banjir untuk diagihkan ke Kelantan, menggunakan ruang kargo pesawat miliknya tanpa mengenakan sebarang bayaran.

 

Antara NGO yang menghantar barangan bantuan melalui AirAsia adalah Mercy Malaysia, Muslim Care Malaysia, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Pertubuhan Graduan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).

Selain itu, AirAsia turut menerbangkan 182 kakitangan perubatan, termasuk doktor dan jururawat, serta sukarelawan seperti kaunselor, secara percuma ke Kota Bharu, setakat ini.

 

“Salah sebuah negeri yang dilanda banjir teruk adalah Kelantan dan kami bersimpati dengan mereka yang terjejas akibat bencana ini, termasuk kakitangan AirAsia yang berpusat di Kota Bharu.

 

“Kami menghulurkan bantuan seberapa banyak yang mampu, bagi meringankan beban masyarakat yang melalui keadaan sukar ini dan berharap mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

 

Selain itu, AirAsia sendiri turut mengambil inisiatif mengumpul dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

 

“Selain barangan bantuan dan aktiviti pembersihan, AirAsia Foundation dengan kerjasama Mercy Malaysia telah melancarkan kempen kutipan derma dalam semua penerbangan AirAsia,” katanya.

 

Kempen kutipan derma itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penumpang AirAsia dan beliau berharap, hasil kutipan derma itu sedikit sebanyak dapat membantu mangsa banjir di Pantai Timur untuk membina semula kehidupan mereka, secepat mungkin.

 

Tabung Bantuan Banjir Pantai Timur AirAsia itu bermula 2 Januari lalu dan bakal berakhir 18 Januari ini.

 

Selain kutipan dalam penerbangan AirAsia, orang ramai juga boleh memberi sumbangan menerusi www.airasiafoundation.com/relieffund.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Aireen berkata, seramai 16 sukarelawan AirAsia tiba di Kota Bharu semalam, bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan pembinaan semula penempatan masyarakat di kawasan terjejas, selain mengagihkan barangan bantuan yang disumbangkan syarikat itu kepada mangsa banjir. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.