106 Jemaah Umrah Tersadai Di Arab Saudi Dijangka Tiba Di Tanah Air Esok

Kuala Lumpur – Seramai 106 jemaah umrah negara ini yang tersadai di Arab Saudi sejak 3 Januari lalu dijangka tiba di tanah air esok selepas satu pertemuan bersama beberapa pihak termasuk kedutaan Malaysia serta agensi umrah terbabit diadakan kelmarin.

Menerusi pertemuan itu, agensi berkenaan bersetuju menyelesaikan masalah berbangkit dan semua jemaah yang sepatutnya tiba di tanah air 3 Januari lalu menaiki pesawat United Airways dari Madinah ke Dhaka sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Datuk Zulkifli Yaacob berkata, isu terbabit selesai selepas Kosulat Jeneral Malaysia di Jeddah bertemu dengan jemaah terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut apa yang berlaku dan mengambil tindakan susulan.

“Kerajaan menghantar dua wakil dalam pertemuan di Madinah itu yang turut dihadiri agensi umrah yang bertanggungjawab membawa semua jemaah ini. Mereka dijadualkan tiba di Malaysia 3 Januari lalu, tetapi ekoran masalah yang tidak dapat diselesaikan, mereka terkandas di sana.

“Kita sudah mendapatkan penjelasan dan agensi itu sudah menyelesaikan dengan pihak berkaitan termasuk syarikat penerbangan. Mereka akan berlepas jam 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia), transit di Dhaka dan dijangka tiba Ahad (hari ini),” katanya kepada Harian Metro. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.