INSKEN Catat Lebih RM5.7 Juta Peningkatan Hasil Jualan, Cipta 174 Pekerjaan Baru

KUALA LUMPUR – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang lebih RM5.7 Juta peningkatan hasil jualan
serta 174 pekerjaan baharu dicipta melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi berkenaan di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi(MEDAC).

Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar berkata, dua program bimbingan tersebut adalah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).

Kata beliau, secara keseluruhan, peningkatan hasil jualan tersebut dicipta oleh 383 usahawan yang terbahagi kepada 214 peserta Program IBBC dan 169 peserta Program E-Board.

“Kejayaan INSKEN membuktikan bahawa program bimbingan dijalankan ternyata berkesan dalam membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan ketika sedang menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

“Nilai gandaan yang dijana daripada peruntukan dana untuk melaksanakan kedua-dua program bimbingan ini juga menunjukkan catatan cemerlang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noh menambah, keseluruhan kos perbelanjaan untuk melaksanakan Program IBBC mencecah nilai gandaan sebanyak 4.9 dan 2.3 bagi Program E-Board dijana dalam bentuk peningkatan hasil jualan usahawan.

“Program yang menggunakan pendekatan bimbingan secara one-on-one ini adalah wajar diteruskan serta ditingkatkan frekuensi pelaksanaannya agar lebih ramai usahawan mendapat manfaatnya,” katanya pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2020/2021.

Turut hadir, Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.

Terdahulu, Noh berkata, peserta program INSKEN akan diberikan pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan bantuan pembiayaan dengan agensi lain.

Katanya, manfaat ini merupakan inisiatif kolaborasi antara agensi yang akan diteruskan oleh INSKEN.

“Seramai 214 peserta Program IBBC tamat bimbingan secara one-on-one selama empat bulan adalah usahawan daripada industri barbershop, katering, spa, bengkel kereta, food truck,wedding planner, penyaman udara dan lain-lain servis berkaitan.

“Kesemua peserta program ini yang dibimbing oleh pakar industri mencatat peningkatan jualan keseluruhan melebihi RM5.4 juta dan berjaya menawarkan 174 peluang pekerjaan baharu,” katanya.